#JusticeForZara: Pemuda Ranau Tuntut Keadilan, Siasatan Telus
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ranau menuntut agar keadilan dan siasatan yang telus dijalankan untuk kes insiden buli yang melibatkan adik Zara.
Ketuanya, Md Nadzmin Kamin berkata, isu buli tidak boleh dianggap remeh lagi dan ia perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.
“Saya mewakili barisan Pemuda UMNO Bahagian Ranau ingin menyatakan rasa dukacita terhadap insiden tragis menimpa adik Zara, pelajar yang telah pergi meninggalkan kita dalam keadaan menyayat hati.
“Kami berdiri teguh bersama keluarga Allahyarhamah dan seluruh rakyat Malaysia yang menuntut keadilan serta ketelusan dalam siasatan. Isu buli ini tidak boleh dianggap remeh lagi. Ia adalah barah sosial yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, tindakan segera dan menyeluruh perlu dilaksanakan untuk membanteras gejala tersebut.
“Sebagai Ketua Pemuda UMNO Ranau, saya mencadangkan agar pihak sekolah dan agensi kerajaan melaksanakan tindakan segera dan menyeluruh. Pertama, gubal Akta Anti Buli dan jadikan kes buli sebagai satu kesalahan jenayah yang berat.
“Kedua, tubuhkan Unit Khas Anti Buli di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mahupun sekolah untuk pantau dan terima aduan pelajar secara rahsia serta selamat. Seterusnya, pasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kritikal termasuk asrama untuk menjamin keselamatan pelajar 24 jam.
“Saluran aduan rahsia juga perlu disediakan untuk membolehkan mangsa atau saksi membuat laporan tanpa rasa takut. Selain itu, semua guru termasuk warden perlu dilatih dalam aspek empati, kaunseling dan pengurusan krisis pelajar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Ranau akan terus mendesak pihak bertanggungjawab agar tiada lagi kes yang sama berulang.
“Akhir sekali, wujudkan media rasmi (sementara) untuk saluran berita tepat agar tidak timbul lagi fitnah dan spekulasi yang bukan-bukan diluar sana.
“Pemuda UMNO Ranau akan terus mendesak pihak bertanggungjawab supaya tiada lagi nyawa remaja yang melayang akibat kegagalan sistem perlindungan di sekolah.
Kita semua bertanggungjawab. Kita semua perlu berani berubah,” katanya lagi. – UMNO Online