Johor Catat Pelaburan Tertinggi: Pencapaian Sebenar Bila Rakyat Nikmati Kemajuan

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan negeri itu kini terus mencipta rekod Keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada kadar 6.4 peratus bagi tahun 2024.

Beliau berkata ia sekaligus merekodkan pelaburan tertinggi negara sebanyak RM30.1 bilion hanya dalam suku pertama 2025 dan kekal peneraju eksport pertanian negara.

“Namun, kita tidak mahu kejayaan ini tinggal sebagai angka atas kertas semata-mata.

“Pencapaian sebenar adalah apabila rakyat sendiri merasa nikmat kemajuan ini dalam kehidupan seharian di mana rakyat Johor boleh membeli makanan dengan harga berpatutan, menyara keluarga dengan pendapatan yang mencukupi, serta mendapat akses kepada perumahan, pendidikan dan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Kos Sara Hidup Negeri Johor, hari ini.

Katanya mesyuarat juga memberi fokus kepada langkah-langkah praktikal dan menyeluruh, termasuk peningkatan kekerapan program Jualan Kasih dan Jualan Rahmah, yang dijangka memberi manfaat kepada jutaan rakyat.

Sementara itu turut dibincangkan ialah pelaksanaan mekanisme bantuan digital seperti e-baucar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dengan cara yang lebih adil, telus dan mudah diakses.

“Saya turut menegaskan bahawa setiap dasar dan inisiatif kerajaan mesti digerakkan secara menyeluruh dan terkoordinasi. Ini bukan masa untuk bekerja dalam silo masing-masing. Setiap jabatan, agensi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemimpin masyarakat mesti berganding bahu.

“Jika kita bersatu, tiada perkara yang tidak mampu kita hadapi termasuk cabaran kos sara hidup yang membelenggu rakyat hari ini.

“Semoga setiap langkah yang diambil ini membawa perubahan yang benar-benar dirasai Bangsa Johor sekali gus menjadi pemangkin kepada negeri yang lebih sejahtera dalam menuju negeri maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79