Jalur Gemilang Lambang Maruah Dan Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menempelak tindakan dan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik, sambil menyifatkan tindakan undang-undang perlu dikenakan sebagai pengajaran.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata ia penting bagi membentuk warganegara supaya menghormati lambang negara.

“Pemuda UMNO Terengganu berpendapat, Jalur Gemilang bukan bahan jenaka politik.

“Ia lambang maruah dan kedaulatan negara. Tindakan sebegini bukan sahaja memperkecilkan simbol negara, malah menanam sikap acuh tak acuh terhadap patriotisme di kalangan generasi muda.

“Mengikut Seksyen 8(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1981), perbuatan menghina atau mempersenda bendera negara adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, beliau turut sama mengulas dasar had umur belia bawah 30 tahun yang akan dikuatkuasakan wajar untuk dikaji semula.

Katanya lagi ini kerana data Jabatan Perangkaan Malaysia (2023) menunjukkan 42 peratus golongan umur 30 hingga 40 tahun masih aktif menyumbang dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan program negara.

“Kadar pemilikan rumah pertama di kalangan umur 30–35 tahun adalah tertinggi iaitu 46 peratus, membuktikan mereka masih bergelut dengan isu ekonomi dan memerlukan sokongan dasar belia.

“Jika dibandingkan, kebanyakan negara ASEAN menetapkan umur belia sehingga 35 atau 40 tahun antaranya Indonesia (16 hingga 30 tahun), Thailand (18 hingga 35 tahun), Singapura sehingga 35 tahun serta Brunei dan Filipina sehingga 40 tahun.

“Oleh yang demikian, Menteri Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan kerajaan perlu mendengar pandangan pemegang taruh warga belia ini sebagai sebahagian solusi pembikinan ummah masa hadapan yang mapan.

“Pemotongan umur belia kepada bawah 30 tahun dilihat tergesa-gesa, tidak berasaskan realiti sosioekonomi dan berisiko meminggirkan kumpulan belia matang yang sedang membina kerjaya, keluarga, dan kepimpinan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79