Cukup-cukuplah Bermain Api Politik… Hentikan Provokasi
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Cukup-cukuplah bermain api politik, sekarang masanya untuk bekerja demi rakyat Sabah dan Malaysia, tegasnya Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu.
Ini kerana katanya, UMNO Sabah mempunyai kuasa autonomi dan pimpinan tertinggi parti di negeri ini adalah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kami di peringkat Pemuda UMNO Sabah kekal taat dan akur kepada keputusan yang dibuat oleh pimpinan, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.
“Semua pihak agar menghentikan kenyataan bersifat provokasi, dan sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memperkukuh parti masing-masing serta mendekati rakyat dengan kerja yang nyata, bukan sekadar retorik.
“Tidak perlu lagi mengipas bara yang sedang membara, kerana yang rugi akhirnya adalah rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Dr Anil juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu membidas dengan tegas terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen, yang mencabar Bung Moktar supaya secara rasmi mengisytiharkan bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
“Sebagai seorang pemimpin parti, saya sarankan agar Arthur Sen dan rakan-rakan sekutunya fokus kepada urusan dalaman parti sendiri dan tidak mencampuri hal ehwal UMNO Sabah.
“Tindakan mencetuskan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif hanya akan mengeruhkan lagi suasana politik semasa.
“Kita semua masih berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan MADANI, dan sebagai komponen dalam kerajaan, sebarang kenyataan harus dibuat dengan penuh tanggungjawab dan mengambil kira kestabilan politik negara, lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang kini sudah cukup panas,” ujarnya. – UMNO Online