Wahai Pas… Wanita Bukan Bahan Jenaka, Boleh Diperlekehkan
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Wanita UMNO Negeri Sembilan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk politik yang berunsur penghinaan, diskriminasi dan seksisme serta percaya martabat wanita perlu dipertahankan dan dihormati oleh semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik.
Ketuanya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, wanita bukan bahan jenaka atau perbandingan yang memperlekehkan malah jasa wanita adalah pemimpin, pendukung negara dan sumber kekuatan masyarakat.
“Saya amat berasa dukacita dan kesal terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran yang menyamakan peranan wanita dalam kepimpinan dengan tingkah laku haiwan, iaitu lembu.
“Kenyataan sedemikian adalah amat tidak wajar, tidak beradab dan bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai sebuah masyarakat bertamadun yang menjunjung prinsip kesaksamaan, kehormatan dan integriti dalam ruang demokrasi.
“Menyamakan wanita dengan lembu bukan sahaja memperlekehkan kaum wanita, malah merupakan satu bentuk penghinaan kepada seluruh golongan wanita yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Tegasnya, ia mencerminkan satu bentuk pemikiran patriarki dan seksis yang masih berakar dalam budaya politik sesetengah pihak dan tidak lagi boleh diterima dalam konteks Malaysia yang moden, inklusif dan progresif serta timbul persoalan adakah Pas masih bersifat patriarki dan seksis.
Jelasnya, golongan wanita merupakan lebih 50.3 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia.
“Mereka bukan sahaja berperanan sebagai ibu, pendidik dan penjaga keluarga, tetapi juga sebagai pembuat dasar, pemimpin masyarakat, penjawat awam, ahli akademik, ahli perniagaan dan pemimpin politik,” katanya lagi.
Justeru katanya, mana-mana kenyataan yang merendahkan martabat wanita adalah satu bentuk penolakan terhadap kemajuan sosial dan politik yang telah dibina sekian lama.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran adalah tidak bertanggungjawab dan perlu ditarik balik secara terbuka. Permohonan maaf secara rasmi kepada seluruh wanita di negara ini adalah amat wajar.
“Pimpinan tertinggi Pas perlu memberikan penjelasan yang tegas dan jelas berhubung pendirian mereka terhadap kenyataan ini. Apakah ini merupakan pendirian rasmi parti terhadap kedudukan wanita dalam masyarakat dan politik negara.
“Pendirian dan sikap wakil-wakil rakyat wanita daripada Pas sendiri. Adakah mereka bersetuju dengan kenyataan tersebut, atau memilih untuk berdiam diri walaupun penghinaan dilemparkan secara terbuka terhadap kaumnya sendiri? Sikap berdiam diri dalam hal ini adalah amat mengecewakan dan boleh ditafsir sebagai satu bentuk keizinan secara tersirat,” jelasnya.
Seterusnya kata Bibi Sharliza lagi, UMNO, khususnya Wanita UMNO, akan terus memperjuangkan hak dan maruah wanita.
“Kita akan terus memastikan lebih ramai wanita diberikan ruang dan peluang untuk menjadi pembuat keputusan serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan,” ujarnya.
Terdahulu, dilaporkan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi dalam hantaran di media sosial telah menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”. – UMNO Online