UMNO Putatan Sedia Main Peranan Besar, Fokus Harmonikan Jentera Hadapi PRN
PUTATAN, 7 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menyatakan bahawa UMNO bahagian berkenaan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Tanjung Aru dan Petagas.
Dalam temubual khas bersama UMNO-Online, beliau menegaskan bahawa kerusi-kerusi tersebut mempunyai sejarah, potensi dan kekuatan akar umbi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Tanjung Keramat adalah kerusi Barisan Nasional (BN). Ia bukan milik mana-mana individu, tetapi milik parti.
“Walaupun di Tanjung Aru kita berada di tempat kedua dalam PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu, ia tetap menunjukkan potensi besar untuk BN bertanding di sana,” jelas beliau.
Jeffrey yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah turut menyatakan bahawa kawasan Petagas turut menjadi fokus tuntutan UMNO Putatan, walaupun menyedari bahawa UMNO tidak bertanding di kawasan itu pada pilihan raya yang lalu.
“Kami akui bahawa dari sudut kekuatan akar umbi, Petagas merupakan antara kawasan paling bersedia. Namun kita juga perlu realistik. Dalam semangat berkawan, sudah tentu akan ada tuntutan daripada rakan-rakan gabungan. Tapi itu tidak menghalang kami untuk mengemukakan tuntutan berdasarkan kekuatan sebenar di lapangan,” ujarnya.
Mengulas mengenai strategi UMNO Putatan menjelang PRN, Jeffrey menekankan dua keutamaan utama iaitu pengurusan persepsi dan kesepaduan jentera.
“Kita mesti tangani cabaran persepsi terhadap parti. Kedua, kita mesti pastikan jentera kita bukan sekadar lengkap, tapi harmoni. Jentera yang canggih pun tak bermakna jika tidak bersatu,” katanya.
Beliau yakin, jika diberikan peluang untuk bertanding di mana-mana kerusi tersebut, UMNO Putatan bersedia untuk bekerja keras dan menampilkan calon yang benar-benar mampu memberi kemenangan kepada BN.
“Insya-Allah, jika rezeki itu ada dan peluang diberi, kami akan buktikan kemampuan kami di Putatan,” katanya. – UMNO Online