Semangat Kemerdekaan Perlu Dihayati, Serap Ke Jiwa Anak Muda

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Hari Kemerdekaan bukan sekadar dengan slogan yang dilaungkan saban tahun, sebaliknya ia adalah satu peristiwa besar yang harus diingati dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, kemerdekaan mempunyai makna yang lebih mendalam dan merangkumi pelbagai dimensi kehidupan termasuklah kebebasan jiwa, minda serta suasana sekeliling.

“Kemerdekaan ini terdiri dari pelbagai bentuk sama ada merdeka jiwa, minda dan juga merdeka keadaan sekeliling, dan ia tergantung pada kita macam mana hendak menerapkan kemerdekaan dalam diri kita.

“Apabila seseorang itu benar-benar merdeka jiwanya, mereka akan melihat keindahan dan keharmonian negara, berbanding individu yang jiwanya terbelenggu, yang hanya memandang aspek negatif. Maka anak-anak muda perlu diterapkan nilai-nilai kasih sayang, murni dan menghargai pengorbanan orang-orang terdahulu.

“Yang pentingnya hari kemerdekaan mesti dirasai oleh semua anak-anak muda, betapa susahnya orang-orang terdahulu hendak mencapai kemerdekaan dan hari ini lagi sukar hendak mengekalkan kemerdekaan. Bukan saja mengibarkan Jalur Gemilang tetapi mendekati mereka dan secara tidak langsung dapat mengingatkan kepada mereka bahawa perlunya dan indahnya mengekalkan kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Semarak Merdeka anjuran Wanita UMNO Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-68 dan penyerahan jalur gemilang ke negeri-negeri di Menara Dato’ Onn, di sini, Rabu. 

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Senator Datuk Rosni Sohar, Exco-exco Wanita dan juga Ketua-ketua UMNO Wanita negeri-negeri.

Mengulas lanjut, kata Rosni lagi, Penerangan Wanita UMNO telah mengadakan perbincangan dengan seluruh Ketua-ketua Wanita UMNO seluruh negara bagi merangkakan program Semarak Kemerdekaan di setiap negeri.

“Penerangan UMNO Negeri Perlis akan mengadakan program bersama pemandu e-hailing wanita. Bagi negeri Kedah akan mengadakan program bersama Kedah Development Authority (KEDA) dan di Pulau Pinang turut mengadakan kebudayaan.

“Negeri Perak akan mengadakan program bersama masyarakat Orang-orang Asli. Begitu juga Melaka akan melaksanakan program dengan penarik-penarik beca tradisional. Negeri Pahang menjalankan program bersama usahawan-usahawan, manakala bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, jalur gemilang akan diberikan pada penumpang LRT dan MRT,” jelasnya.

Seterusnya kata Rosni lagi, seluruh rakyat Malaysia agar terus menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi sejak lebih enam dekad lalu demi memastikan ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat hari merdeka kepada semua rakyat Malaysia dan hargailah kemerdekaan yang dikecapi ini supaya apa yang dikecapi dapat dirasai, diwarisi generasi yang akan datang.

“Kekalkan kemerdekaan, jiwa dan kebahagian dalam situasi di Malaysia. Terapkan nilai kemerdekaan pada semua aspek,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79