Rakyat Sabah Rindukan Kepimpinan Stabil, Gerak 17 Sambutan Menggalakkan

SANDAKAN, 7 Ogos – Inisiatif Gerak 17 yang digerakkan di pelbagai kawasan di Sabah menerima sambutan yang amat menggalakkan, mencerminkan kerinduan rakyat terhadap kepimpinan stabil yang pernah mereka nikmati sebelum tahun 2018.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, inisiatif rakyat Sabah kini semakin sedar dan menilai semula perkembangan yang berlaku sejak perubahan politik pada 2018 sehingga ke hari ini.

“Rakyat sudah melihat sendiri bagaimana selepas 2018, sehingga 2025 ini, negara telah bertukar kerajaan sebanyak tiga kali.

“Mereka mula merasakan bahawa kestabilan politik adalah kunci utama untuk menjamin pembangunan masa depan anak bangsa,” kata Ahli Parlimen Libaran itu dalam wawancara khas bersama UMNO-Online.

Tambah beliau lagi, pentadbiran kerajaan negeri hari ini disifatkan sebagai gagal menepati harapan rakyat.

“Kecewa itu jelas. Lihat sahaja keadaan hari ini dengan masalah gangguan bekalan elektrik… perniagaan juga terjejas teruk. Rakyat menyebutnya sebagai ‘penyakit tiga serangkai’ tiada air, tiada elektrik, tiada jaringan internet,” ujarnya lagi.

Menurutnya, kegagalan kemudahan asas sebegini menimbulkan kemarahan rakyat, terutamanya golongan peniaga dan penduduk luar bandar yang semakin tertekan dengan keadaan tidak menentu.

Gerak 17 yang digerakkan di peringkat akar umbi bertujuan mengukur denyut nadi rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengenal pasti isu-isu utama yang membelenggu penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan Suhaimi yang juga Ketua UMNO Libaran turut menegaskan pihaknya telah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi Sabah.

“Semua logistik dan keperluan jentera pilihan raya di peringkat bahagian telah disusun rapi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam masa terdekat.

“Segala kelengkapan, struktur jentera dan perancangan telah disiapkan. Kita bersedia pada bila-bila masa sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan untuk membubarkan DUN,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79