Rais Adakan Lawatan Mengejut Lihat Aduan, Keselesaan Peniaga Pasar Alor Gajah
ALOR GAJAH, 7 Ogos – Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin, mengadakan lawatan mengejut ke Pasar Awam Alor Gajah hari ini bagi menilai sendiri keberkesanan kerja naik taraf yang telah dilaksanakan.
Lawatan itu turut disertai beberapa wakil agensi berkaitan, yang bersama-sama meninjau fasiliti semasa serta mendengar aduan dan pandangan daripada para peniaga pasar.
“Saya berterima kasih kepada para peniaga yang sudi berkongsi pandangan dan cadangan. Semua aduan akan diteliti dan ditangani demi keselesaan rakyat serta kemajuan DUN (Dewan Undangan Negeri) Rembia,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, pendekatan turun padang seperti ini penting untuk memastikan setiap inisiatif kerajaan negeri benar-benar memberi impak positif kepada rakyat, khususnya golongan peniaga kecil.
Beliau turut menegaskan bahawa kerja menaik taraf infrastruktur pasar akan diteruskan secara berperingkat agar para peniaga dapat berniaga dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.
“Kerja bersama, demi rakyat. Itu keutamaan kita,” tambah Rais. – UMNO ONLINE