Pemuda UMNO Tegas: Kesalahan Kibar Jalur Gemilang Tidak Boleh Dikompromi
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pemuda UMNO Malaysia menegaskan bahawa tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson adalah satu kesalahan serius yang melibatkan simbol kedaulatan negara, dan tidak seharusnya dipandang ringan apatah lagi dipolitikkan.
Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang wajar berdiri teguh menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, dalam menyuarakan teguran terhadap insiden berkenaan.
“Apa yang ditegur bukan kaum, bukan sekolah itu semata-mata, tetapi satu kesilapan nyata terhadap simbol kedaulatan negara,” tegas beliau.
Insiden itu menjadi tular apabila bendera Malaysia dilihat dipasang secara terbalik di sekolah terbabit sempena sambutan bulan kemerdekaan, mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.
Bagaimanapun katanya, ada pihak mempertahankan tindakan pihak sekolah dan menuduh UMNO cuba mempolitikkan isu tersebut.
Shah Zanuriman menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan mencerminkan sikap tidak patriotik dalam mempertahankan simbol negara.
“Kalau bendera terbalik pun kita tutup mata, esok apa lagi yang kita akan kompromi? Ini bukan soal politik atau perkauman. Ini soal tanggungjawab terhadap negara,” katanya lagi.
Pihak sekolah sebelum ini memberikan alasan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada kecuaian seorang pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ditugaskan memasang bendera.
Namun begitu, Shah Zanuriman mempersoalkan tahap pengawasan dan tanggungjawab pihak pentadbiran sekolah.
“Ini bukan tentang siapa yang pasang, tetapi siapa yang bertanggungjawab. Di mana pengawasan dan peranan pentadbiran sekolah dalam memastikan maruah negara tidak dicemari?” ujarnya.
Beliau turut menolak sebarang cubaan untuk melindungi kesilapan atas alasan ia berlaku di ‘kawasan sendiri’ atau membabitkan institusi pendidikan tertentu, sambil menyatakan bahawa kesetiaan kepada negara tidak sepatutnya bersifat memilih bulu.
“Bendera ini bukan milik parti. Bukan milik kaum. Ia milik negara,” tambah beliau.
Shah Zanuriman menegaskan bahawa Pemuda UMNO sentiasa konsisten dalam mempertahankan maruah negara, tidak kira sama ada ancaman datang dari luar atau kecuaian berlaku dari dalam.
“Kami tidak akan berdiam diri apabila simbol negara dihina atau dipandang ringan. Asal salah, kami akan tegur – tak kira siapa,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk melihat teguran ini sebagai peringatan terhadap tanggungjawab bersama sebagai warganegara, dan bukannya mencipta sentimen politik atau perkauman.
“Kedaulatan negara tidak boleh dikompromi. Jalur Gemilang bukan minta dihormati sebagai simbol kaum, tapi sebagai simbol negara,” tegasnya lagi. – UMNO Online