Pemuda UMNO Pokok Sena Pertahan Dr. Akmal, Kecam Taktik Politik Simpati
POKOK SENA, 7 Ogos – Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena mengecam keras tindakan pihak-pihak tertentu, yang didakwa cuba mempolitikkan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, sambil menyifatkannya sebagai satu cubaan mencabar semangat patriotisme rakyat demi kepentingan politik sempit.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, cubaan untuk memutarbelit isu sebenar demi meraih simpati politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila melibatkan lambang kedaulatan negara.
“Jalur Gemilang bukan sekadar kain yang dikibarkan semasa perayaan. Ia adalah simbol kedaulatan, kemerdekaan dan perpaduan negara yang tercinta. Ia lambang perjuangan tokoh-tokoh bangsa yang menuntut kemerdekaan dan membina Malaysia yang berdaulat,” tegas beliau dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap trend politik yang memperkecilkan makna simbol negara dengan alasan-alasan longgar, sehingga teguran tegas demi mempertahankan bendera negara dianggap sebagai serangan politik.
“Apabila bendera Malaysia dipasang secara terbalik, itu bukan isu remeh. Ia satu penghinaan terang-terangan, lebih-lebih lagi apabila berlaku menjelang Hari Kebangsaan. Namun bila ada pemimpin seperti Dr. Akmal yang berani menegur, beliau pula diserang,” katanya.
Mohd Farhan menegaskan, Pemuda UMNO tidak sesekali menyerang individu atau kaum tertentu, sebaliknya hanya menentang sikap angkuh dan hipokrit pihak yang mempertahankan kesalahan secara terbuka.
“Kami tidak anti sesiapa. Kami hanya anti terhadap penghinaan terhadap negara. Mempertahankan Jalur Gemilang bukan soal politik – ia soal prinsip, tanggungjawab dan semangat kenegaraan,” ujarnya lagi.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menyelar pihak yang didakwa cuba memesongkan naratif dengan memainkan sentimen simpati kononnya pemasangan bendera terbalik dilakukan oleh golongan orang kurang upaya (OKU).
“Dr. Akmal tidak pernah menghina OKU. Teguran beliau adalah terhadap pihak yang bertanggungjawab, bukan individu tertentu. Namun ada pihak memilih untuk memutar isu ini agar kelihatan seperti serangan peribadi – itu taktik lapuk politik simpati yang rakyat sudah muak,” tambahnya.
Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO Pokok Sena menyatakan solidariti padu terhadap Dr. Akmal dan menyeru rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agar kembali menyemarakkan semangat patriotisme dan mempertahankan simbol negara daripada diperkotak-katikkan demi agenda politik sempit.
“Amaran kami jelas… jangan cabar semangat patriotisme rakyat. Isu bendera bukan bahan politik. Bila Jalur Gemilang dihina, kami tidak akan diam. Bila pemimpin kami diserang kerana mempertahankannya, kami akan bangkit,” kata Mohd Farhan lagi. – UMNO Online