Pelantikan Seimbang Cerminan Semangat Kerajaan Perpaduan – Saiful Yazan
SEREMBAN, 7 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menegaskan bahawa pelantikan ke jawatan penting termasuk ke Dewan Negara harus mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan yang inklusif dan seimbang.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sembilan telah menunjukkan contoh terbaik dalam merealisasikan konsep perkongsian kuasa yang adil dalam pentadbiran negeri.
“Semangat Kerajaan Perpaduan diterjemahkan dalam bentuk pelantikan yang seimbang dan inklusif. Tidak ada dominasi atau satu pihak, sebaliknya yang wujud ialah perkongsian amanah dan tanggungjawab.
“Ini bukan perkara kecil dalam landskap politik Malaysia hari ini yang sering kita terperangkap dalam permainan persepsi dan perpecahan, Negeri Sembilan muncul sebagai model sebenar sebagai mana kerajaan pelbagai parti boleh berfungsi secara harmoni dan berkesan.
“Dewan Negara bukan sahaja platform semak dan imbang tetapi juga ruang untuk memperjuangkan kepentingan negeri-negeri. Maka pelantikan ini harus mencerminkan semangat Negeri Sembilan yang progresif dan berpandangan jauh,” beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, semalam.
Mengulas lanjut, Saiful yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC UMNO Negeri Sembilan), berkata cabaran utama dalam mana-mana Kerajaan Perpaduan ialah membina dan mengekalkan kepercayaan.
“Tetapi di Negeri Sembilan kita telah menunjukkan bahawa kepercayaan itu bukan sekadar boleh dibina tetapi ia boleh berkembang menjadi kekuatan bersama.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan bukan gabungan yang dipaksa-paksa. Ini adalah hasil kesepakatan jujur dan kompromi antara rakan-rakan politik yang bersedia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi agenda politik.
“Pelantikan Senator dan Timbalan Speaker pada Persidangan DUN kali ini membuktikan bahawa nilai-nilai politik masih hidup di negeri kita. Negeri Sembilan menghantar mesej bahawa kita bukan sahaja menyokong Kerajaan Perpaduan dengan slogan tetapi kita komited untuk menyumbang secara aktif kepada kestabilan dan dasar negara,” katanya.
Terdahulu, pada sidang DUN, Saiful menjelaskan pelantikan Dr. Jufitri Joha (Keadilan) dan Datuk Wu Him Ven (Dap) sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili Negeri Sembilan mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan yang matang, progresif dan inklusif, dengan harapan kedua-dua wakil membawa suara negeri ke peringkat nasional secara berkesan. – UMNO Online