Palestin: Malaysia Sokong Usaha The Hague Group, Namun Berhati-hati Dengan Prasyarat

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia menyatakan sokongan terhadap usaha The Hague Group mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik di Gaza, namun mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prasyarat serta kandungan Deklarasi New York yang sedang dibahaskan di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata Malaysia sentiasa menyokong usaha ke arah perdamaian berkekalan bagi rakyat Palestin dan penubuhan sebuah negara merdeka, namun tegas tidak akan menyokong sebarang inisiatif bertentangan prinsip dasar luar negara.

“Kita menyokong The Hague Group supaya ini (kekejaman Israel) dihentikan…tetapi Malaysia berhati-hati di dalam usaha ini kerana ada prasyarat yang kita sendiri rasa kurang selesa untuk kita bersama-sama memperakukan dokumen hasil dikeluarkan negara-negara tersebut.

“Kita bersetuju dengan tajuknya, iaitu supaya negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan segera, tetapi kita kurang selesa dengan prasyarat diadakan, kerana banyak perkara tidak selaras dengan dasar luar Malaysia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai langkah Malaysia mendesak komuniti antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menghentikan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Gaza.

The Hague Group merupakan gabungan negara yang komited memperjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin di platform antarabangsa, termasuk di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Mohamad berkata, Malaysia merupakan penaja bersama (co-sponsor) kumpulan itu dan telah menyertai mesyuarat awal yang diadakan minggu kedua bulan lalu di Bogota, Colombia, bagi membincangkan isu Palestin serta mencari penyelesaian segera terhadap krisis yang berlaku.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan Malaysia komited menyuarakan pendirian tegas bersama negara sepemikiran, termasuk mendesak gencatan senjata kekal serta pembukaan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang kini berdepan krisis kebuluran akibat sekatan berpanjangan rejim Zionis.

Beliau berkata, rejim Zionis kini menggunakan sekatan bekalan makanan sebagai senjata perang dan tindakan itu disifatkan amat kejam.

“…bekalan makanan disekat di sempadan Jordan dan Mesir, tiada satu pun lori bantuan dibenarkan masuk. Sudah lebih empat bulan rakyat Palestin kebuluran dan ramai yang telah terkorban.

“Ini bukan sahaja dikutuk oleh masyarakat antarabangsa, malah Malaysia dan negara-negara sepemikiran juga mengecam tindakan ini,” katanya.

Mohamad turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten dalam mendesak kebebasan Palestin dan penubuhan negara merdeka, walaupun terdapat pihak yang tidak selesa dengan usaha tersebut.

Menurutnya, perjuangan Malaysia turut mendapat sokongan kukuh daripada negara-negara lain yang sepemikiran, bagi memastikan rakyat Palestin mendapat hak untuk mentadbir negara mereka sendiri.

“Malaysia tidak akan berhenti. Kita akan terus bersuara walaupun banyak yang rasa tidak selesa dengan pendirian kita…Malaysia akan tetap membawa suara ini ke pentas antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79