Manndzri Cadang Asingkan Fungsi Kementerian Belia Dan Sukan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan peranan Kementerian Belia dan Sukan diasingkan.

Beliau berkata ia bagi memastikan fungsi kedua-dua elemen tersebut dapat dilaksanakan lebih berfokus.

“Saya mencadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mungkin boleh dikaji untuk pisahkan fungsi Kementerian Belia dan Sukan.

“Beri fokus pada Kementerian Sukan dalam aspek pembangunan sukan. Manakala belia, orang muda, remaja di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Belia boleh mengkoordinasi kewajaran belia.

“…yang bukan sahaja melibatkan sukan tapi lebih fokus dalam pendidikan, pengajian tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan dan pasaran buruh,” katanya.

Manndzri berkata demikian ketika perbahasan sempena RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau belia adalah tunjang pembangunan negara, dengan populasi belia berumur 15 hingga 30 tahun, melebihi 7.3 juta orang 23 peratus daripada jumlah penduduk.

Namun katanya 42 peratus belia yang bekerja dalam sektor tidak formal kurang memberi jaminan sosial dan pendapatan stabil.

“Pengangguran belia pada April 2025 berusia 15 hingga 30 tahun iaitu 6.2 peratus bersamaab 452,600 orang masih menunjukkan angka yang membimbangkan, dua kali ganda lebih tinggi dari kadar nasional tiga peratus.

“Tenggara mohon kerajaan menjawab berkenaan langkah berkesan yang harus diambil oleh kerajaan untuk menurunkan kadar pengangguran di kalangan belia dalam kerangka RMK13 dan apakah sasaran pencapaian pada tahun 2030,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79