Kenyataan Pemuda Pas Biadap, Berfikiran Sempit… Prejudis Keupayaan Wanita

KUALA KRAU, 7 Ogos – Wanita UMNO Pahang memandang serius kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran Muhammad Salman Al Farisi yang menyamakan kepimpinan wanita dengan lembu.

Ujar Ketuanya Senator Norhasmimi Abdul Ghani, kenyataan sebegitu bukan sahaja biadab, malah mencerminkan pemikiran sempit dan prejudis terhadap wanita yang memimpin.

“Menghina kepimpinan wanita dengan perbandingan haiwan sama ada lembu, biri-biri, monyet atau apa sahaja adalah kata-kata yang tidak bertanggungjawab, malah amat mengguris hati dan menjatuhkan maruah wanita.

“Ia bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kehormatan sesama insan dan tidak merendahkan ciptaan Allah, apatah lagi wanita yang berperanan besar dalam keluarga, masyarakat dan negara.

“Al-Quran sendiri merakamkan kepimpinan hebat seorang wanita iaitu Ratu Balqis (Surah An-Naml, ayat 23-44) yang dipuji kerana kebijaksanaan, keberanian dan keadilannya sehingga mampu menyelamatkan rakyat daripada kesyirikan. Jika wanita tidak layak memimpin, mengapa Allah mengiktiraf serta memuji kebijaksanaan seorang ratu dalam Kitab-Nya?” kata Norhasmimi yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau dalam satu kenyataan.

Jelas Ahli Dewan Negara itu lagi, Rasulullah SAW juga mendengar dan menerima pandangan Ummu Salamah r.a dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang menyelesaikan krisis besar umat Islam ketika itu.

“Khalifah Umar r.a pula melantik Syifa’ binti Abdullah memegang jawatan penting dalam pentadbiran. Sejarah Islam sarat dengan bukti kepimpinan wanita dan menyumbang kepada pembangunan ummah,” tambahnya lagi.

Tegasnya lagi, pemimpin muda seperti Muhammad Salman seharusnya menggunakan akal waras dan adab seorang muslim sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Seharusnya kepimpinan seseorang dinilai dengan neraca Islam sebenar melalui iman, akhlak, amanah dan kewibawaan, bukan dengan menghina jantina atau menyamakan wanita dengan haiwan.

“Jika beginilah tahap pemikiran yang dibawa, rakyat berhak mempersoalkan kelayakan beliau memimpin dan mewakili parti. Jika Allah memuji, siapakah kita untuk mengeji,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79