Isu Jalur Gemilang: Tolak Keras Cubaan Pihak Pesong Perhatian Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menolak keras cubaan mana-mana pihak untuk memesongkan perhatian rakyat dengan serangan bersifat politik sempit terhadap isu Jalur Gemilang.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, bendera Malaysia bukan sekadar kain ataupun alat propaganda politik.

“Kenyataan yang menuduh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersikap hipokrit dan tidak konsisten adalah satu tindakan lebih sibuk mempertahankan kesilapan daripada maruah negara.

”Bendera Malaysia bukan sekadar kain berjalur merah putih atau alat propaganda politik. Ia melambangkan maruah negara. Kesalahan mempamerkan bendera secara terbalik bukan isu kecil, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan di sebuah institusi pendidikan.

“Mereka boleh bermain politik populis untuk mempertahankan kesilapan. Tetapi, jangan sesekali cabar semangat cintakan tanah air rakyat Malaysia yang melihat Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kedaulatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, kes bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik adalah satu bentuk kecuaian yang memalukan dan ia menunjukkan kelemahan pengurusan.

“Kes yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson adalah satu bentuk kecuaian yang sangat memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam konteks sebuah institusi pendidikan. Apabila bendera negara dipasang terbalik, walau atas apa alasan sekalipun ia menunjukkan ada kelemahan serius dalam pengurusan sekolah.

“Apabila melibatkan bendera negara, tiada ruang untuk cuai. Tiada ruang untuk ‘tak perasan’. Kami kecewa kerana ini bukan kali pertama. Mereka yang merupakan sebuah sayap pemuda parti politik yang kononnya memperjuangkan nilai kemanusiaan dan keadilan menunjukkan sikap tidak matang dalam mengurus perbezaan pendapat.

“Ia sama seperti isu label ‘daging ham’ di premis KK Mart sebelum ini… malah mereka lebih berminat mempertahankan kecuaian daripada bersama-sama mempertahankan simbol negara kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa teguran Dr Akmal adalah berpaksikan kepada semangat patriotisme dan tanggungjawab moral untuk negara.

“Jalur Gemilang tidak mewakili mana-mana parti. Ia bukan milik UMNO, bukan milik Pakatan Harapan (PH), bukan milik mana-mana parti gabungan politik. Ia adalah milik rakyat. Ia lambang tanah air. Ia kibaran darah perjuangan.

“Teguran Dr Akmal bukan bermotifkan politik malah ia berpaksikan semangat patriotisme dan tanggungjawab moral terhadap negara. Kami menolak keras cubaan mana-mana pihak, yang cuba memesongkan perhatian rakyat dengan serangan bersifat politik sempit.

“Kami akan terus berdiri bersama Dr Akmal, mempertahankan Jalur Gemilang daripada sebarang bentuk penghinaan dan kami tidak akan tunduk kepada tekanan politik apabila kebenaran ditegakkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79