Bukan ‘Supplement’, UMNO Rakan Pengasas Kerajaan Perpaduan

KUALA PILAH, 7 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan UMNO bukan menyorok di bawah ‘ketiak’ Pakatan Harapan (PH), tetapi UMNO adalah ‘rakan pengasas’ kepada struktur Kerajaan Perpaduan dan penggerak aspirasi kesejahteraan dan pembelaan rakyat masa kini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling merangkap Exco Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, jika ada mana-mana pihak menyentuh beberapa perkara berkaitan agama, bangsa dan tanah air kita, UMNO tidak akan berdiam diri.

“Adalah penting untuk semua pihak memahami bahawa UMNO bukan ‘parti tambahan’ atau sekadar menjadi ‘supplement’ kepada PH. Kita juga harus ingat bahawa tanpa penglibatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tiada Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Maka, suara dan peranan UMNO dalam setiap perbincangan dasar, penggubalan undang-undang, dan penyusunan agenda pembangunan negara adalah sah dan wajar dihormati. Kerjasama bukan bermakna tunduk atau diam. Kerjasama bermakna saling melengkapi demi matlamat lebih besar: kestabilan dan kemakmuran negara.

“Kita menolak sebarang cubaan untuk meminggirkan suara atau peranan UMNO hanya kerana komposisi kerjasama politik yang lebih luas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata UMNO bukan parti picisan atau pelengkap semata-mata dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO adalah salah satu teras penting yang menyumbang kepada kestabilan, kesinambungan dasar dan kekuatan politik kerajaan hari ini. Peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan bersifat kosmetik, tetapi bersifat strategik dan substantif.

“Sebagai parti yang mempunyai sejarah panjang dalam pembinaan negara, UMNO membawa pengalaman, jaringan akar umbi yang kukuh serta pemahaman mendalam terhadap keperluan rakyat pelbagai lapisan, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar,” katanya lagi.

Tambah Ismail, kewujudan UMNO dalam gabungan kerajaan bukan sekadar simbolik tetapi
memastikan dasar kerajaan benar-benar berpaksikan rakyat.

“Ini menjadikan UMNO bukan sahaja relevan, malah penting dalam memastikan dasar kerajaan benar-benar berpaksikan rakyat.

“UMNO juga memainkan peranan utama dalam memastikan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial terus dihormati dalam kerangka Malaysia MADANI,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79