Ziarah Wanita UMNO Segamat Semarak Silaturahim dan Prihatin Masyarakat
SEGAMAT, 6 Ogos – Naib Ketua Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim terus memperkukuh agenda kebajikan dan semangat persaudaraan melalui penganjuran Jelajah Ziarah Prihatin di Zon Berata, di sini.
Program ziarah yang memasuki sesi ketiga ini menjadi wadah mengeratkan silaturahim, menyantuni mereka yang sedang berdepan ujian kehidupan, termasuk golongan pesakit, individu kurang upaya, serta ibu-ibu yang baru melahirkan anak.
“Ziarah membina silaturahim, santun melahirkan kasih sayang, dan bertanya khabar menyuburkan persaudaraan. Syukur Alhamdulillah atas nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada kita semua walaupun cuaca amat panas,” ujar Norshida.
Beliau berkata, walaupun dalam keadaan cuaca terik, semangat para Wanita yang hadir tidak pernah pudar demi membawa keceriaan kepada masyarakat yang memerlukan malah sambutan mesra dari mereka yang diziarah mengundang rasa terharu kepada mereka.
Jelas Norshida, turut bersama dalam program ini ialah ketua-ketua Wanita bahagian, jawatankuasa Wanita, serta ketua-ketua cawangan yang secara sukarela meluangkan masa dan tenaga untuk menjayakan sesi ziarah.
“Usaha ini adalah lambang kesatuan hati dan jiwa kita dalam membantu, menyantuni, dan memberi harapan kepada mereka yang sedang diuji. Saya amat menghargai komitmen semua pihak yang menjayakan program ini,” tambahnya.
Jelas beliau, program Jelajah Ziarah Prihatin ini bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan moral dan sokongan emosi, tetapi turut menjadi ruang untuk Wanita UMNO mendengar secara langsung keluhan dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Norshida menegaskan bahawa pendekatan turun padang secara konsisten amat penting untuk memastikan kebajikan rakyat terus terjaga, selari dengan peranan Wanita UMNO sebagai nadi kebersamaan dalam parti dan masyarakat.
“Semoga setiap langkah yang kita susun ini menjadi amal jariah dan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat. Insya-Allah, kita akan terus istiqamah dalam berkhidmat,” katanya lagi. – UMNO Online