Usaha Berterusan Dekati Anak Muda Melalui Media Sosial – Ismail Lassim

KUALA PILAH, 6 Ogos – Usaha berterusan perlu dilakukan oleh UMNO untuk mendekati anak muda terutamanya melalui medium media sosial yang semakin meluas.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lassim berkata, media sosial kini menjadi jambatan penghubung di antara pemimpin dan rakyat khususnya golongan muda.

“Anak-anak muda yang menjadi pengundi ini memang bertambah setiap hari. Jadi, usaha berterusan memang kita lakukan dan salah satu daripadanya ialah melalui media sosial.

“Penglibatan para pemimpin parti khususnya wakil-wakil rakyat mesti dipaparkan melalui media sosial kerana inilah satu jambatan yang boleh menghubungkan pemimpin hari ini dengan pengundi-pengundi baharu.

“Mungkin kita tiada masa untuk bersemuka dengan anak-anak muda ini, tetapi penglibatan media sosial sudah semestinnya sedikit sebanyak akan dapat menyantuni mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang diadakan pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling menzahirkan kegembiraan apabila Kuala Pilah menjadi satu-satunya bahagian yang dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Alhamdulilah, kita telah melangsungkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya amat gembira dengan kehadiran beliau. Kehadiran di mesyuarat ini cukup ramai. Saya rasa para perwakilan yang hadir pada hari ini melebihi 700 orang. Ini satu petanda yang baik untuk UMNO Bahagian Kuala Pilah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kerjasama yang telah dijalin untuk membentuk Kerajaan Perpaduan perlu diteruskan bagi membina semula kekuatan UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Datuk Seri Ab Rauf secara tidak langsung mengatakan apa pilihan yang kita ada? Kalau nak UMNO ini kekal relevan, kita pergi solo pun mungkin belum cukup kekuatan. Sebaliknya, kita kena teruskan kerjasama politik seperti yang dilakukan pada hari ini.

“Apa yang penting, keputusan kita pada hari ini berstrategi. Bukan keputusan mengikut emosi… tetapi berstrategi supaya UMNO kekal relevan. Itu yang lebih penting sebenarnya.

“Harapan saya, UMNO ini akan lebih mantap dan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79