Puteri UMNO Sabah Kecam Insiden Buli: Tuntut Keadilan Buat Adik Zara

KOTA KINABALU, 6 Ogos – Puteri UMNO Sabah menzahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap insiden buli membabitkan adik Zara Qairina yang telah mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh negara.

Menurut Ketuanya Ummi Jamal Nabila, kejadian menyayat hati itu bukan sahaja mengejutkan, malah menuntut ketegasan daripada semua pihak agar keadilan ditegakkan tanpa kompromi.

“Puteri UMNO Sabah mengutuk sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk menutup, melengahkan atau mengganggu siasatan kes ini. Mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan kebenaran atau melindungi pelaku harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ummi Nabila seterusnya menuntut empat tuntutan utama berhubung insiden berkenaan.

“Pertama siasatan mesti dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh, keduanya semua individu terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan tanpa pilih kasih.

“Seterusnya keadilan untuk mangsa mesti menjadi keutamaan, bukan kepentingan individu atau institusi tertentu dan pihak berkuasa perlu menunjukkan komitmen serius dalam menangani isu buli di sekolah dan institusi pendidikan,” tambahnya.

Tambah Ummi Nabilah, Puteri UMNO Sabah berdiri teguh bersama suara rakyat Malaysia dalam menuntut keadilan buat adik Zara dan keluarganya.

“Jangan lindungi pelaku…lindungilah mangsa. Biarlah insiden ini menjadi titik perubahan dalam cara kita menangani isu buli secara lebih berkesan dan bermaruah,” tegasnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79