Puteri UMNO Platform Kepimpinan Wanita Muda – Hasyyati

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman menyifatkan sayap parti ini sebagai platform pembinaan dasar serta ruang selamat untuk wanita muda menjadi versi terbaik dalam politik tanah air.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa berkata ini kerana Puteri UMNO bukan sekadar sayap kecil yang hanya datang ketika pilihan raya namun merupakan sekolah kepimpinan.

“Kita mesti menjadi kuasa wanita muda yang terus hidup kerana sedar akan tanggungjawab, bukan semata-mata peranan.

“Dalam persekitaran politik yang masih bergelora, dan dasar belia yang belum stabil, suara Puteri UMNO mesti kekal konsisten dan berakar.

“Kita tidak boleh hanya bersuara bila dipanggil, atau bekerja bila disuruh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut kata beliau selama 24 tahun tertubuhnya Puteri UMNO, melalui enam kepimpinan Ketua Puteri ia menyaksikan setiap seorang dengan cabaran dan gelombangnya yang tersendiri.

Katanya ini termasuk dari era awal menubuhkan identiti, kepada fasa mendekati rakyat, berhadapan zaman kehilangan kuasa sehinggalah kini berada dalam fasa pemulihan dan pembaharuan.

“Tapi satu yang pasti, apa yang kita lakukan hari ini, akan menentukan sama ada Puteri kekal sebagai kekuatan strategik parti atau hanya sekadar kenangan sambutan tahunan,” ujar beliau.

Sementara itu Hasyyati turut sama menyentuh berkenaan had umur Puteri UMNO, seperti yang diperjuangkan mereka.

“Perjuangan usul lanjutan umur keahlian bukan tuntutan emosi dan cinta pada parti bukan soal usia tetapi soal keberanian untuk bertindak. Kematangan untuk terus bertahan. Kita bukan hadir untuk dihias, kita hadir untuk mengubah.

“Kita cakna keperluan berdasarkan realiti wanita muda hari ini yang semakin lewat menemui kestabilan kerjaya, kemampuan dan kepercayaan diri. Jika pada saat mereka baru bersedia menyumbang, kita minta mereka mengundur, maka kita sedang melemahkan sayap yang sepatutnya sedang mengukuh.

“Dalam persekitaran politik yang masih bergelora, dan dasar belia yang belum stabil, suara Puteri UMNO mesti kekal konsisten dan berakar,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79