Permohonan Rumah Prihatin Johor Kini Melalui Aplikasi ‘Najib Samuri’
PARIT YAANI, 6 Ogos – Aplikasi mudah alih ‘Najib Samuri’ yang dibangunkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, kini terus menjadi pemudah cara utama dalam menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat setempat.
Terkini, aplikasi berkenaan telah menambah fungsi baharu bagi permohonan Rumah Prihatin Johor (RPJ), sebuah inisiatif kerajaan negeri yang menawarkan subsidi sehingga RM30,000 kepada rakyat Johor untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Kita ingin pastikan penduduk Parit Yaani mendapat maklumat dan kemudahan terkini secara terus dan mudah. Melalui aplikasi ini, mereka kini boleh mengakses borang permohonan Rumah Prihatin Johor secara dalam talian, tanpa perlu hadir secara fizikal,” ujar Mohamad Najib.
RPJ menawarkan dua pilihan subsidi iaitu sebanyak RM56,000 atau RM36,000, bergantung kepada kelayakan pemohon, dengan tempoh pembinaan rumah hanya tujuh bulan.
Syarat Kelayakan:
• Warganegara Bumiputera Johor.
• Berumur 25 tahun ke atas.
• Status berkahwin, duda atau janda.
• Pemilikan rumah pertama.
• Tanah atas nama sendiri atau milikan bersama.
Aplikasi ‘Najib Samuri’ boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play Store, atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan dalam bahan infografik rasmi.
Mohamad Najib seterusnya memaklumkan inisiatif ini selari dengan usaha Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan rakyat memiliki kediaman sendiri, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kami percaya aplikasi ini bukan sahaja memudahkan urusan, tetapi juga sebagai penghubung terus antara pemimpin dan rakyat,” tambah Mohamad Najib lagi. – UMNO Online