MYJalan KKR Lalui Proses Penambahbaikan – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selaras dengan No Wrong Door Policy (NWD), aplikasi MYJalan KKR menerima aduan mengenai jalan yang berada di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta aduan jalan di bawah pihak bertanggungjawab yang lain.
Menurut beliau selepas saringan dilaksanakan, semua aduan ini disalurkan segera kepada pihak bertanggungjawab yang berkenaan untuk tindakan penyelesaian berdasarkan piagam pelanggan ditetapkan.
“Semenjak Ogos 2023 hingga 30 Jun 2025, aplikasi MYJalan KKR telah merekodkan sebanyak 39,371 aduan. Daripada keseluruhan aduan tersebut, 11,959 aduan (30.4 peratus) adalah aduan berkaitan jalan Persekutuan di bawah seliaan KKR. Baki sejumlah 27,412 aduan lagi atau 69.6 peratus adalah aduan membabitkan Jalan Bandaran di bawah tanggungjawab PBT/KPKT, aduan mengenai Jalan Kampung di bawah seliaan KKDW, aduan Jalan Pertanian di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran dan aduan mengenai Jalan Negeri di bawah seliaan dan tanggungjawab Kerajaan Negeri.
“Bagi jalan Persekutuan di bawah seliaan KKR, pengguna dapat memantau status tindakan penyelesaian aduan menerusi aplikasi MYJalan KKR di ruangan STATUS. Bagi aduan yang berada di bawah pihak bertanggungjawab yang lain (selain KKR) dan tidak pula mengguna pakai platform Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), tindakan penyelesaian akan terus dimaklumkan oleh pihak bertanggungjawab yang berkenaan kepada pengadu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli meminta Menteri Kerja Raya menyatakan statistik aduan serta pencapaian aplikasi MyJalan dalam menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya di Sarawak dan adakah Kementerian akan membuat penambahbaikan ke atas aplikasi ini bagi membolehkan aduan dibuat oleh pengguna yang tidak berada di lokasi kerosakan jalan tersebut.
Ahmad Maslan seterusnya menambah berhubung status aduan jalan di Sarawak, aplikasi MYJalan KKR telah menerima sejumlah 809 aduan bagi tempoh masa yang sama.
“Sejumlah 68 aduan (8.41 peratus) merupakan aduan jalan di bawah seliaan KKR di mana 43 aduan (63 peratus) telah diselesaikan dan 25 aduan (37 peratus) sedang dalam tindakan penyelesaian. Manakala sebanyak 741 aduan lagi atau (91.59 peratus) merupakan aduan jalan membabitkan pihak bertanggungjawab yang lain. Selain itu, terdapat juga aduan yang disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri tanpa melalui aplikasi MYJalan,” ujarnya.
Ujar beliau lagi, aplikasi MYJalan KKR telah melalui proses penambahbaikan mengambil kira cadangan daripada pengguna, keperluan baharu dan selaras dengan teknologi terkini.
“Pada masa ini, pengguna boleh membuat aduan tanpa perlu berada di lokasi kerosakan menerusi langkah antaranya pengguna perlu mengetahui kedudukan lokasi kerosakan dan menggunakan fungsi carian “Search” pada peta Google Maps dalam aplikasi MYJalan. Langkah kedua, pengguna perlu menetapkan “pin lokasi” pada peta bagi menunjukkan kedudukan lokasi kerosaka dan langkah terakhir adalah pengguna perlu mendaftar aduan dengan cara mengisi maklumat aduan pada borang dalam aplikasi MYJalan.
“KKR dari semasa ke semasa melaksanakan advokasi dan promosi aplikasi MYJalan KKR dalam media rasmi, media sosial dan semasa ke lapangan seperti semasa menyertai Program Madani Rakyat. Setakat ini, sekitar 53 ribu pengguna telah memuat turun aplikasi MYJalan melalui Apple Store atau Google Play atau Apps Gallery (Huawei)
“Dalam hal ini, KKR berharap semua Ahli Yang Berhormat dapat membantu untuk mewar-warkan aplikasi MYJalan supaya lebih banyak rakyat dapat menerima manfaat daripada penggunaan aplikasi ini,” ujarnya. – UMNO Online