Mohd Zaidy Tegas Perjuang Isu Rakyat Jeram Padang, Terus Bawa Pembangunan

JEMPOL, 6 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan komitmennya untuk terus menjadi suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, memastikan setiap isu yang membabitkan kepentingan penduduk di kawasannya diangkat dan diperjuangkan secara berkesan.

“Saya akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat kawasan DUN Jeram Padang untuk bersuara dalam sidang ini, memastikan isu-isu rakyat terus diangkat dan diperjuangkan secara berkesan,” tegasnya selepas menghadiri hari kedua Persidangan Kedua Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Ke-15, semalam.

Beliau berkata, persidangan yang berlangsung penuh tertib, harmoni dan profesional itu menjadi medan penting untuk semua Ahli Dewan menyuarakan pandangan demi kepentingan rakyat serta kemajuan negeri.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan yang telah mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan. Syabas dan tahniah juga kepada Dr. Jufitri Joha dan Datuk Vincent Wu Him Ven atas pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

“Saya yakin pelantikan ini akan memperkukuh suara Negeri Sembilan di peringkat nasional dan memperjuangkan agenda rakyat dengan penuh amanah dan integriti,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Zaidy turut memaklumkan pencapaian di Jeram Padang dengan siapnya empat jambatan baharu bernilai RM1.6 juta di Felda Palong 1, hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jempol.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk, malah mengurangkan risiko banjir yang sejak sekian lama membelenggu komuniti setempat.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Utama Aminuddin Harun atas sokongan penuh dalam membawa pembangunan ke kawasan luar bandar. Kita terus bekerja, bukan untuk populariti, tetapi demi rakyat,” katanya lagi.

Beliau juga menekankan bahawa agenda pembangunan dan pembelaan rakyat akan terus menjadi keutamaan sepanjang khidmatnya sebagai ADUN Jeram Padang, sama ada melalui projek infrastruktur mahupun perjuangan di dalam sidang DUN. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79