Kajian Separuh Penggal Bukti Iltizam UMNO Terhadap Prinsip Ketelusan
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dayang Nurazlin Nordin menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mencadangkan pelaksanaan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Beliau berkata ia mencerminkan iltizam UMNO terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban politik khususnya dalam menilai prestasi anggota pentadbiran kerajaan serta agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan yang dipimpin oleh wakil UMNO.
“Saya percaya bahawa suara wanita muda dalam landskap politik hari ini wajar diangkat dan tidak boleh diketepikan.
“Kajian separuh penggal ini wajar turut mengambil kira peranan, sumbangan serta cabaran yang dihadapi oleh golongan muda dan wanita dalam sistem pentadbiran negara, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Sementara itu katanya Puteri UMNO akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang progresif dalam parti.
Katanya ia bagi ruang menambahbaik, memperkukuh dan membawa pembaharuan yang diperlukan rakyat.
“Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh, adil dan berani, kita dapat memastikan dasar-dasar kerajaan bukan sahaja berkesan, tetapi benar-benar inklusif dan mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Malaysia.
“UMNO bukan sekadar mahu kekal relevan. Kita mahu kekal berprinsip, berprestasi dan berpihak kepada rakyat. Dalam naratif ini, suara wanita muda bukan lagi pelengkap tetapi antara penggerak utama masa depan politik negara,” ujar beliau.
Terdahulu, Mesyuarat MKT UMNO memaklumkan akan melaksana kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Kajian ini turut merangkumi penilaian terhadap pencapaian kepimpinan UMNO dalam barisan pentadbiran kerajaan. – UMNO Online