Jentera UMNO/BN DUN Tanjung Batu Siap Sedia Hadapi PRN Sabah Ke-17
KALABAKAN, 6 Ogos – UMNO dan Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Batu berada dalam keadaan penuh kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, hasil persiapan rapi dan semangat juang tinggi di peringkat akar umbi.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, kejayaan penganjuran Program Radu Tatap Radu @ PDM Pasir Putih membuktikan kekuatan dan komitmen jentera parti di kawasan tersebut.
“Tahniah dan syabas kepada Ketua PDM Pasir Putih, Hasrul Hasaat, bersama seluruh ahli jawatankuasa atas kejayaan menganjurkan program ini. Ia jelas menunjukkan kesiapsiagaan kita dalam menanti seruan PRN Sabah ke-17,” katanya.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan dan Pengarah Pilihanraya UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, yang berkongsi pandangan bernas serta berfakta, sekali gus menyuntik semangat juang dalam kalangan jentera.
Lebih menarik, program ini turut menyaksikan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat – daripada anak muda, wanita, hinggalah pesara dan golongan profesional – yang hadir bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi sebagai penyumbang tenaga dan buah fikiran dalam sesi libat urus politik dan pembangunan.
Samasuddin menegaskan, momentum positif ini akan diteruskan ke semua PDM di DUN Tanjung Batu bagi memastikan kemenangan UMNO BN pada PRN nanti.
“Kita tidak akan biarkan satu inci pun kawasan kita longgar tanpa gerakan. Setiap rumah akan diziarahi, setiap hati akan disentuh. UMNO/BN bukan sekadar nama, tetapi wadah perjuangan yang sudah terbukti membela rakyat,” tegas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa siri program gotong-royong, ziarah kasih, dialog rakyat dan pelibatan media digital akan dipertingkatkan dalam minggu-minggu akan datang, sebagai sebahagian daripada pelan tindakan 100 Hari Jentera PRN Tanjung Batu.
“Insya-Allah, kita akan pastikan Tanjung Batu terus menjadi kubu kuat UMNO BN. Ayuh jentera, kita mara bersama!” serunya dengan penuh semangat. – UMNO Online