Jangan Sesekali Samakan Pemimpin Wanita Dengan Binatang – Nur Syareeza

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor menasihatkan Pas untuk tidak sesekali menyamakan pemimpin wanita dengan binatang.

Ini kerana katanya, tindakan tersebut adalah keterlaluan dan biadap maka seorang pemimpin yang membawa imej Islam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Menyamakan pemimpin wanita dengan ‘lembu betina’ adalah keterlaluan dan biadap! Seorang pemimpin Pas yang membawa imej Islam tidak wajar mengeluarkan kenyataan biadab dan merendahkan martabat wanita sebagai seorang pemimpin.

“Di dalam al-Quran, surah An-Naml ada menceritakan tentang Ratu Balqis, pemimpin Kerajaan Sa’ba, menjadi bukti bahwa wanita juga mampu menjadi pemimpin yang adil dan bijaksana. Pas tidak seharusnya memandang rendah terhadap pemimpin wanita,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru pimpinan Pas untuk melihat semula bagaimana Islam memuliakan dan menghormati pemimpin wanita di dalam al-Quran.

“Lebih mengecewakan apabila Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahan kenyataan tersebut. Sungguh memalukan.

“Nasihat saya kepada Pas, jangan sesekali menyamakan pemimpin wanita dengan binatang.

“Lihat semula bagaimana Islam memuliakan dan menghormati pemimpin wanita sehingga di dalam surah An-Naml, ayat 27:29-44 menceritakan bagaimana Ratu Balqis berjaya memimpin Kerajaan Saba’ dengan penuh kewibawaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Maran, Muhammad Salman Al Farisi menerusi hantaran di laman Facebooknya  telah menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”.

Pada Selasa, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan tersebut dan katanya ia perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan, bukannya bertujuan menghina wanita. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79