Haslinda Bidas Analogi ‘Lembu Betina’, Wanita Wajar Dihormati Bukan Jadi Bahan Hinaan

JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Wanita UMNO Johor mengecam keras kenyataan seorang pemimpin muda yang menyamakan pemimpin wanita dengan “lembu betina”, yang disifatkan sebagai penghinaan melampau, tidak beradab, dan menjijikkan.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor merangkap ADUN Tenang, Haslinda Salleh menegaskan, perbandingan sebegitu bukan sahaja menyinggung individu yang menjadi sasaran, malah turut menghina seluruh wanita Malaysia yang selama ini berjuang dan menyumbang kepada negara.

“Pemimpin wanita, sama ada dari UMNO atau mana-mana parti, dipilih rakyat untuk memikul amanah besar. Mereka berkorban masa, tenaga, dan emosi demi mengangkat suara masyarakat. Menyamakan mereka dengan haiwan ternakan adalah penghinaan yang keterlaluan, apatah lagi dari parti yang membawa nama Islam,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau turut mempersoalkan adakah itu cara mendidik generasi politik akan datang iaitu dengan memaki dan memperlekeh wanita yang bersuara.

Haslinda mengingatkan bahawa Islam mengajar umatnya menjaga lidah dan menghormati sesama insan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang melarang perbuatan memperolok-olokkan orang lain. Rasulullah SAW sendiri memuliakan wanita sebagai isteri, anak, dan sahabat perjuangan tanpa menjatuhkan maruah mereka dengan kata-kata keji.

Lebih mengecewakan, kata beliau, kenyataan menghina tersebut bukan sahaja tidak ditegur, malah dipertahankan oleh pemimpin kanan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa ia bukan penghinaan.

“Ini menimbulkan persoalan besar iaitu adakah parti yang mendakwa membawa nilai Islam benar-benar memahami batas adab berbahasa? Membela kenyataan menghina hanya akan mengundang lebih banyak kerosakan,” tegasnya.

Wanita UMNO Johor, ujarnya, menolak sekeras-kerasnya gaya politik yang memperlekeh wanita hanya kerana perbezaan pandangan.

Beliau juga menggesa kepimpinan tertinggi parti berkenaan untuk mengambil tindakan segera dan tidak berdiam diri, kerana sikap mendiamkan diri seolah-olah merestui budaya menghina wanita.

“Wanita bukan lemah, bukan bahan jenaka, dan bukan haiwan untuk dijadikan perbandingan murahan. Kami akan terus bersuara kerana maruah mesti dipertahankan,” tegas Haslinda.

Beliau juga menyeru agar semua pihak membina suasana politik yang matang, sopan, dan menghormati wanita, bukan kerana mereka meminta layanan istimewa, tetapi kerana itu hak mereka sebagai manusia dan pemimpin yang sah.

Terdahulu, dilaporkan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi dalam hantaran di media sosial telah menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”.– UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79