Guna Tenaga Tidak Penuh Menurun Kepada 35.7%, Kerajaan Perkasa Latihan Kemahiran

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran telah mencatatkan penurunan daripada 37.3 peratus pada tahun 2022 kepada 35.7 peratus pada suku pertama 2025 dan penurunan ini merupakan hasil pendekataan secara menyeluruh oleh Kerajaan melalui pelbagai kementerian.

Menurut beliau pihaknya menerusi jabatan dan agensi yang terlibat dalam latihan kemahiran dan TVET seperti Talent Corp, Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), PERKESO dan HRD Corp berperanan dalam menyediakan tenaga buruh yang mempunyai kemahiran yang tinggi sesuai dengan kehendak industri pada era kini.

“KESUMA melalui TalentCorp telah menerbitkan Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (Critical Occupations List – MyCOL) sejak tahun 2015 sebagai penanda aras untuk penelitian keperluan pekerjaan dan kemahiran kritikal yang diperlukan oleh pihak industri. Bermula tahun 2023, usaha memperkenalkan MyCOL turut diperluaskan ke peringkat sekolah sebagai pendedahan awal kepada pelajar mengenai landskap kerjaya serta kemahiran masa hadapan yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

“Di samping itu, TalentCorp juga telah menjalankan Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital, dan Ekonomi Hijau untuk memahami kesannya terhadap tenaga kerja Malaysia. Berdasarkan dapatan kajian ini, Portal digital MyMAHIR.my telah dibangunkan. Bagi memastikan keselarasan kemahiran dengan keperluan industri, MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) yang diterajui oleh para pemain industri juga ditubuhkan untuk menentukan bentuk latihan yang diperlukan oleh industri dan memilih pusat latihan yang sesuai. Setakat Jun 2025, sebanyak 66 program latihan di bawah MyMAHIR FSTC sedang berjalan melibatkan seramai 2,336 orang peserta,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah langkah konkrit Kementerian untuk mengekang ketidakseimbangan pasaran buruh apabila 35.7% daripada kadar pengangguran semasa berkait rapat dengan isu ketidakpadanan kemahiran dan apakah strategi intervensi jangka pendek dan jangka panjang yang sedang dilaksanakan.

Abdul Rahman seterusnya menambah selain itu, KESUMA menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) mengambil langkah strategik dalam menangani isu ketidakpadanan kemahiran melalui pembaharuan sistem latihan dan pensijilan kemahiran agar lebih anjal dan sejajar dengan keperluan semasa industri.

Antaranya tambah beliau termasuk semakan semula Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) agar selaras dengan permintaan pasaran buruh semasa.

“Sehingga Jun 2025, sebanyak 2012 NOSS aktif tersedia untuk pelaksanaan, manakala sistem latihan disokong oleh 1,619 Pusat Bertauliah di seluruh negara. Seterusnya, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) telah menawarkan pelbagai kursus melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan kembali memasuki pasaran kerja. Pada tahun 2024, seramai 84,231 orang peserta telah dilatih, manakala sehingga 30 Jun 2025, seramai 48,833 orang peserta telah mengikuti latihan dalam pelbagai bidang.

“Pada masa yang sama, KESUMA melalui PERKESO turut memperkasakan pasaran kerja negara dan mempersiapkan tenaga kerja mahir negara menerusi inisiatif seperti Perkhidmatan Pekerjaan Negara melalui platform pencarian pekerjaan portal MYFutureJobs, Sistem Career Bridge Tool, Program MYFutureJobs Career Launchpad, Pusat Satelit sebagai lokasi sehenti pencari kerja dan kerjasama strategik bersama syarikat dan institut latihan kemahiran dalam menyediakan reskilling dan upskilling untuk meningkatkan kebolehpasaran serta kompetensi pekerja.

“KESUMA melalui HRDCorp telah melaksanakan Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week (NTW) pada tahun 2025 yang telah menawarkan lebih daripada 72,000 latihan percuma termasuk latihan yang bercirikan kecerdasan buatan, koding, keselamatan siber, analisa data dan banyak lagi. Seramai lebih kurang 3.5 juta penglibatan daripada warga Malaysia serta ASEAN yang telah mendaftar dan mengikuti latihan-latihan ini yang dijalankan secara fizikal, atas talian dan hybrid,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79