Dari Pulau Ke Pedalaman, Semangat Perwakilan Bukti Kekuatan UMNO

KINABATANGAN, 6 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menzahirkan rasa kagum terhadap semangat luar biasa yang ditunjukkan perwakilan UMNO Kinabatangan pada Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian itu tahun ini.

Menurut beliau, kehadiran perwakilan yang begitu ramai, termasuk yang sanggup merentas perjalanan berjam-jam dari pulau-pulau terpencil, menjadi bukti kukuh bahawa kekuatan UMNO di Kinabatangan kekal teguh di bawah kepimpinan Ketua UMNO Sabah selaku Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Pengorbanan dan kesungguhan para perwakilan ini amat luar biasa. Mereka hadir dari pelbagai pelusuk, ada yang dari pulau, ada yang dari pedalaman semata-mata untuk bersama-sama menjayakan persidangan tahunan UMNO.

“Keluasan kawasan Parlimen Kinabatangan sendiri hampir menyamai negeri Pahang, namun semangat mereka tetap membara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita UMNO Kinabatangan, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri bahagian terbabit yang menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan kerusi DUN Lamag dan DUN Sukau kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) kelak.

“Inilah kepimpinan dan semangat perjuangan yang sangat tinggi. Mereka juga telah memberi komitmen penuh untuk memastikan kerusi DUN Lamag dan DUN Sukau kekal milik BN pada PRN-17 kelak.”

Mohd Rafi turut mengucapkan terima kasih kepada rombongan UMNO Labuan yang bersama beliau menghadiri persidangan tersebut, sambil menegaskan bahawa semangat dan kesatuan inilah yang menjadi nadi kekuatan UMNO di Kinabatangan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79