Ahmad Zahid Yakin Pengurusan MARA Mampu Terjemah Amanah Demi Masa Depan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan bahawa pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada masa ini mampu menterjemahkan amanah yang dipikul dengan baik demi masa depan Bumiputera yang lebih progresif dan berdaya tahan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama pengurusan tertinggi MARA di Ibu Pejabat MARA di sini, semalam yang bertujuan meneliti semula hala tuju, memperkemas pelaksanaan, serta memperkukuh strategi jangka panjang agensi tersebut.

Menurutnya, MARA sebagai institusi pembangunan Bumiputera yang bersejarah perlu kekal tangkas, berpandangan jauh serta berani melakukan anjakan berimpak tinggi bagi memperkasakan potensi anak bangsa.

“MARA mesti melangkah dengan lebih tersusun, menyantuni keperluan masyarakat desa, memperluas peluang untuk anak muda dan menggerakkan ekosistem usahawan yang lebih berdaya saing. Saya yakin pengurusan MARA hari ini mampu menterjemah amanah ini dengan baik,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Turut bersama dalam sesi tersebut ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kepimpinan yang lain. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79