Wanita, Puteri UMNO Perlu Beradaptasi Media Baharu, Dekati Pengundi Muda
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi menyeru ahli Wanita dan Puteri UMNO agar terus beradaptasi dengan perkembangan media baharu sebagai medium penting untuk menyampaikan mesej parti, sekali gus mendekati bukan sahaja ahli UMNO, malah pengundi di luar parti bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, Wanita UMNO juga perlu mengambil peluang sepenuhnya terhadap pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan seperti latihan teknikal dan vokasional (TVET), pembangunan industri halal, serta program keusahawanan yang dapat memperkasakan ekonomi ahli dan masyarakat setempat.
“Syabas kepada Wanita UMNO Johor dan Bahagian Kulai atas persiapan awal yang telah dimulakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor nanti. Kesepakatan dan kerja keras ini perlu dicontohi,” katanya yang telah menyempurnakan merasmikan Persidangan Wanita bahagian Kulai baru-baru ini.
Dalam perkembangan berlainan, beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu juga telah merasmikan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lahad Datu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk mengembalikan Lahad Datu sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan mempergiat usaha mendekati pengundi muda.
Katanya, Puteri UMNO perlu memainkan peranan proaktif dalam meyakinkan golongan tersebut mengenai perjuangan parti, selain memastikan mereka mendapat manfaat daripada program-program seperti TVET yang membuka peluang kerjaya lebih luas.
“Bersiap siagalah untuk kemenangan. Kerja keras mesti diteruskan, turun padang, dekati rakyat dan jadikan media baharu sebagai senjata untuk memperkukuh sokongan,” ujarnya lagi. – UMNO Online