Puteri UMNO Membina Kepimpinan Wanita Muda, Penyambung Perjuangan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyifatkan cabaran politik yang berbeza menuntut ruang kematangan akal, ketahanan jiwa dan keberanian membuat keputusan.

Beliau berkata Puteri UMNO kini tidak lagi boleh dilihat sebagai ‘gadis manja politik’ sebaliknya penyambung harapan perjuangan.

“Puteri UMNO telah genap 24 tahun, di saat parti induk kita, UMNO, kini menjangkau usia 79 tahun. Kita bersyukur, kerana sepanjang dua dekad ini, Puteri telah melalui fasa-fasa kepimpinan yang membina kekuatan dan jati diri institusi ini.

“Puteri UMNO hari ini adalah penyambung harapan perjuangan dan kita bersyukur, kerana sepanjang dua dekad ini, Puteri telah melalui fasa-fasa kepimpinan yang membina kekuatan dan jatidiri institusi ini.

“Kita hidup dalam zaman di mana politik bukan lagi tentang siapa yang paling kuat bersuara, tetapi siapa yang mampu bertahan dan terus memberi makna,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Nurul Amal, Puteri UMNO bermula dari era Datuk Seri Azalina Othman Said yang memugar keberanian, seterusnya ke zaman Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang memperkukuh struktur dan keupayaan organisasi.

Kemudian ia diteruskan oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang membawa Puteri merakyat ke tengah denyut masyarakat, bagi mewarisi kekuatan daripada tangan-tangan yang telah terbukti dan berjasa.

“Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena ulang tahun ini memberi makna besar kepada kami di Puteri.

“Apabila beliau menyebut bahawa kita adalah nadi dinamik parti, itu bukan pujian kosong tetapi peringatan yang jujur dan tepat. Bahawa kita tidak boleh leka, tidak boleh selesa, dan tidak boleh berpaut pada nama semata-mata. Lebih-lebih lagi dalam baki tahun 2025 ini, sebelum kita menjejak usia suku abad perjuangan. Tempoh ini bukan waktu menunggu. Ini waktu membina.

“Membina semula keyakinan rakyat terhadap parti. Membina rangka kepimpinan wanita muda yang benar-benar faham denyut rakyat. Serta membina ruang agar Puteri kekal sebagai platform penggerak dasar, bukan sekadar pelaksana program.

Beliau seterusnya menyeru kepada seluruh ahli Puteri UMNO Malaysia untuk terus kekal bersetia dengan terus kuatkan langkah.

“Kerana dalam apa jua keadaan, Puteri akan terus menjadi pemegang obor harapan yang tidak tunduk kepada waktu, tetapi bangkit kerana semangat dan cinta kepada perjuangan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79