Negeri Sembilan Stabil, Tenteram Bersama Kerajaan Perpaduan – Ismail Lassim
KUALA PILAH, 5 Ogos – Negeri Sembilan berada dalam keadaan yang stabil dan tenteram di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling berkata, Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah gagal untuk mengambil berat mengenai apa sahaja permasalahan dihadapi oleh rakyat dan mendengar segala cadangan dikemukakan.
“Pada ketika ini kita di Negeri Sembilan adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Di Malaysia juga ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan ini saya kira semua sudah jelas, ia adalah satu kerjasama politik di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Di Negeri Sembilan ini, Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan baik dan tenang. Alhamdulilah, kita dapat menjaga kepentingan rakyat. Suara kita didengar. Tidak pernah sekali pun kerajaan negeri tidak mengambil berat tentang apa sahaja permasalahan ataupun cadangan yang kita kemukakan.
“Ini menunjukkan walaupun Negeri Sembilan ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan, keadaannya amat tenteram dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah, pada Ahad.
Ujarnya, para pendukung parti perlu bersuara untuk mempertahankan parti dan menepis segala tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan bagi menggamit semula sokongan rakyat.
“Kini sudah tiba masanya untuk kita bersuara mempertahankan parti yang tetap ditohmah dari hari ke hari. Insya-Allah apabila kita berani bersuara, parti kita akan kuat dari semasa ke semasa. Kalau kita tidak ada kerjasama ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kita tidak tahu di mana kita berada sekarang.
“Mungkin ada kerusi DUN yang kita tidak boleh menangi pada ketika itu. Kita kena terima realiti pada hari ini. Dinamika politik memerlukan kita untuk bersama-sama parti lain. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dah berulang kali sebut yang kita akan pertahankan Kerajaan Perpaduan ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Marilah kita bersama-sama mengekalkan perpaduan di kalangan kita. Ini salah satu perkara yang dituntut kepada ahli-ahli UMNO dalam keadaan hari ini. Kalau tiada perpaduan ini, mungkin kita akan tewas,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar ahli dan akar umbi di UMNO Bahagian Kuala Pilah dapat memperkukuhkan lagi perpaduan serta lebih bersedia untuk menghadapi PRU ke-16.
“Sebagai pimpinan bahagian saya amat berharap agar kita di Kuala Pilah ini dapat perkukuhkan lagi perpaduan dan lebih bersedia untuk menghadapi PRU ke-16 yang akan datang. Apa pun keputusan pimpinan kita kena patuhi.
“Saya yakin dan percaya pimpinan parti di peringkat atasan tidak akan membuat sebarang keputusan mengikut emosi. Ia berdasarkan kepada strategi. Saya berharap tempoh masa kita bersama dalam kerajaan perpaduan ini digunakan untuk memperkukuhkan UMNO.
“Kalau UMNO tidak diperkukuhkan kita tidak akan ke mana. Kuatkanlah parti melalui jentera-jentera yang kita ada pada hari ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah pada Ahad.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan merangkap ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Pilah empat peringkat. – UMNO Online