KPM Perlu Tegas Tangani Isu Pasang Bendera Terbalik – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk bertindak tegas dengan isu bendera Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah sekolah.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata siasatan wajar perlu dilakukan bagi mengenal pasti kecuaian tersebut.

“KPM perlu mengambil perkara ini dengan serius agar ia menjadi pengajaran buat semua.

“Saya mendesak juga kementerian pendidikan untuk siasat siapakah orang kurang upaya (OKU) tersebut? Adakah oku fizikal ataupun mental?

“Jika individu itu adalah OKU mental, adakah ia dibenarkan bekerja di dalam premis sekolah?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut kata Dr Akmal, jika benar sekiranya individu yang memasang bendera terbalik adalah seorang OKU maka tindakan berat tetap perlu dikenakan ke atas pihak sekolah.

“Tindakan kepada pihak sekolah kerana membenarkan seorang pekerja OKU memasang bendera tanpa pengawasan dan kenapa pekerja OKU ini yang diberikan tanggungjawab memasang bendera jika sudah tahu beliau adalah seorang OKU dan bukan pekerja lain.

“Malah mereka juga tidak langsung cakna selepas bendera itu dipasang dan dibiarkan begitu sahaja. Kita tidak mahu alasan OKU/orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali!” tegas beliau.

Sementara itu beliau juga turut menyifatkan isu ini tidak berkaitan dengan politik sebaliknya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Dan kepada pemimpin politik yang bercakap jangan politikkan perkara ini, kamu sebenarnya yang mempolitikkan perkara ini, kerana ini bukan soal politik tetapi soal patriotisme terhadap negara ini,” ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat melalui satu kenyataan yang dikongsikan Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, pekerja yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson merupakan OKU. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79