KKDW Perkukuh Sinergi PBK-LKW Demi Masa Depan Desa – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Mesyuarat Perancangan dan Pembangunan Secara Bersepadu antara Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) yang diadakan hari ini membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh kerjasama antara perancang wilayah dan pelaksana akar umbi dalam merencana masa depan luar bandar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, gabungan kekuatan PBK sebagai perancang strategik wilayah dan LKW sebagai pelaksana pembangunan komuniti akan membuka ruang kerjasama yang lebih berimpak dan menyeluruh.
“Di bawah Pelan Strategik KKDW 2026-2030, kita memberi tumpuan khusus kepada transformasi ekonomi desa, dengan penekanan terhadap pewujudan Hab Pelaburan Desa yang inklusif, kompetitif dan lestari. Hab ini bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi simbol kemajuan desa baharu yang menghubungkan potensi tempatan ke pasaran serantau dan global,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Maklumnya, antara kerjasama yang telah dan bakal dilaksanakan antara PBK dan LKW termasuk:
1. KEDA – Pembangunan Integrated Economic & Community Centre (iCON) di Baling, Kedah.
2. PERDA – Perkongsian sumber antara NCIA dan PERDA menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR INTAN).
3. KETENGAH & KESEDAR – Pembangunan berasaskan konsep Transit-Oriented Development (TOD) dan pengukuhan pelancongan desa dengan sokongan kemudahan ECRL.
4. KEJORA – Menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut Ahmad Zahid, pendekatan kolaboratif PBK dan LKW perlu menjadi asas dalam setiap langkah pembangunan luar bandar bagi memastikan pembangunan wilayah yang mapan.
“Insya-Allah, sinergi ini akan menjadi tonggak penting dalam melakar masa depan luar bandar Malaysia yang lebih progresif dan berdaya tahan,” katanya lagi. – UMNO Online