Keyakinan Rakyat Mesti Dikembalikan Kepada UMNO – Ab Rauf
KUALA PILAH, 5 Ogos – Keyakinan rakyat terhadap UMNO mesti dikembalikan atas dasar kebolehan, pengalaman dan kewibawaan parti ini untuk mengurus pentadbiran pusat dan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, UMNO mesti bangkit dan terus menjadi sebuah parti yang mengungguli serta mempertahankan bangsa.
“Saya dipelawa untuk merasmikan banyak mesyuarat UMNO bahagian tetapi waktu saya agak terhad dan sibuk. Kuala Pilah ini adalah satu-satunya bahagian yang saya pilih untuk menjadi perasmi. Di sinilah dapat kita zahirkan apakah sebenarnya perjuangan yang dibawa oleh UMNO selama ini.
“Daripada pengalaman menjadi Setiausaha Kerja UMNO sehinggalah hari ini mentadbir sebuah negeri, saya memberikan panduan kepada mereka untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada pilihan raya akan datang.
“Maka UMNO mesti bangkit sebagai sebuah parti yang sentiasa mengungguli anak bangsa kerana orang Melayu mesti melihat bahawa tidak ada pilihan lain untuk berlindung. Hanya sebuah parti yang selama ini terbukti hebat selama lebih 60 tahun mengurus tadbir negara ialah UMNO.
“Kita telah beri banyak peluang kepada parti lain menguruskan negara ini selepas jatuhnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018. Terbukti semua tokoh yang diberi peluang untuk menerajui dalam mana-mana kerajaan termasuk pada hari ini, hanya para pemimpin UMNO dilihat mempunyai pengalaman luas untuk membantu kerajaan sedia ada,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka menyeru seluruh ahli parti untuk melihat peranan media sosial dalam usaha menarik sokongan rakyat terutamanya golongan anak muda.
“Saya menyeru kepada semua ahli UMNO supaya melihat bahawa peranan yang dimainkan media sosial ini amat besar dalam mempengaruhi minda masyarakat. Di situlah tempat untuk kita menunjukkan karya-karya terbaik politik sama ada dalam kita menelusuri hal ehwal masyarakat, membina satu pembangunan minda yang baik dan mendekatkan diri dengan mereka.
“Mereka ini (jentera) akan mempengaruhi pengundi-pengundi secara automatik yang tidak dapat kita jangkau dan bersemuka. Jadi, saya menyeru kepada seluruh pimpinan terutamanya… digalakkan untuk menggunakan media sosial supaya kita dapat mendekati hati dan denyut nadi masyarakat serta mempamerkan karya-karya politik yang terbaik untuk mereka.
“Pastinya kecerdasan buatan (AI) akan menjadi satu cabaran baharu dalam dunia teknologi ini. Namun, kita kena berkarya juga mengikut AI supaya dapat mengimbangi antara cabaran nyata dan yang berunsur fitnah. Perkara ini memang memberi banyak cabaran kepada minda, fikiran dan jiwa masyarakat. Paling penting, kita mesti mengadaptasi dunia yang serba moden ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar UMNO/BN berjaya memenangi 90 peratus daripada jumlah kerusi yang ditandingi dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya mengharapkan bahawa dalam siri pilihan raya akan datang yang bermula di Sabah, Melaka dan Johor, UMNO/BN mesti menunjukkan satu keunggulan. Keunggulan ini maksudnya dalam semua kerusi ditandingi, kita sekurang-kurangnya mesti menang 90 peratus daripada kawasan sasaran.
“Ini adalah untuk menunjukkan bahawa keyakinan rakyat mesti kembali kepada UMNO atas kebolehan, pengalaman dan wibawa pemimpin UMNO itu sendiri mengurus sesebuah pentadbiran kerajaan negeri,” katanya lagi.
Terdahulu, Ab Rauf Yusoh telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah pada Ahad.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan merangkap ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Pilah empat peringkat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman