Kerajaan Negeri Sembilan Komited Pastikan Pembangunan Dan Kebajikan Masyarakat Orang Asli
SEREMBAN, 5 Ogos – Kerajaan pusat dan negeri kekal komited memastikan pembangunan serta kebajikan masyarakat Orang Asli terus menjadi agenda utama, termasuk melalui pelbagai inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pada tahun 2025, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM4,017,560 bagi melaksanakan enam projek utama melibatkan bekalan air terawat, infrastruktur sosial, jalan perhubungan, bantuan bina baru dan baik pulih rumah, modenisasi pertanian, serta pengukuhan keusahawanan luar bandar.
Daripada jumlah itu, RM3,576,639.80 telah dibelanjakan manakala RM440,920 lagi menunggu kelulusan kementerian.
Beliau memaklumkan, 90 peratus kampung Orang Asli yang diiktiraf JAKOA kini mempunyai akses kepada bekalan air dan elektrik, manakala baki 10 peratus melibatkan Kampung Tambahan yang tidak berstatus Rizab Orang Asli.
“Masih terdapat sebahagian masyarakat Orang Asli yang memilih menggunakan sumber air bukit kerana tidak mahu terikat dengan bayaran bulanan bekalan air SAINS,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan pusat yang akan menyemak semula **Akta Orang Asli 1954 \[Akta 134]** yang tidak pernah dipinda sejak lebih 71 tahun lalu, dengan penambahbaikan meliputi pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. – UMNO Online