Harga BTS Tinggi Jejas Usaha Tanam Semula Pokok Sawit – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Berdasarkan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tahun 2024, kadar penanaman semula sawit dalam kalangan pekebun kecil hanya 0.7 peratus, manakala bagi estet adalah 2.3 peratus.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata terdapat sebilangan kecil estet yang telah mencapai kadar tanam semula melebihi 4 peratus pada tahun 2024.

“Secara keseluruhannya, kadar penanaman semula sawit Malaysia pada tahun 2024 adalah sekitar 2.0 peratus. Antara punca utama penyumbang kepada kadar penanaman semula yang rendah pada tahun 2024 adalah kenaikan harga buah tandan segar (BTS) yang mendorong syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit untuk mengekalkan pokok sawit sedia ada bagi memperoleh pendapatan jangka pendek.

“Harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada tahun 2024 telah meningkat kepada RM4,179.50/tan berbanding RM3,809.50/tan pada tahun 2023. Peningkatan ini sekali gus telah mendorong kenaikan harga purata BTS kepada RM875/tan berbanding RM778/tan pada tahun sebelumnya.

“Harga BTS merupakan antara faktor penting yang dipertimbangkan oleh syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit dalam membuat keputusan untuk melaksanakan aktiviti penanaman semula sawit atau sebaliknya. Hal ini kerana mereka masih memperoleh pendapatan hasil jualan BTS walaupun pengeluaran BTS di paras yang sangat rendah,” katanya pada sesi pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab persoalan Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah faktor utama yang menyebabkan kadar tanam semula sawit hanya mencapai 2.0% pada tahun 2024, jauh lebih rendah daripada sasaran industri 4-5% setahun.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan walaupun syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit memperoleh pendapatan hasil jualan BTS.

Jelasnya, daripada pokok sawit tua dan tidak lagi produktif, produktiviti BTS secara keseluruhannya masih rendah dan ini menjejaskan pendapatan dan modal syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit.

“Antara faktor lain yang dikenal pasti ialah kebanyakan pekebun kecil sedia ada berada pada usia lanjut, manakala minat dalam kalangan generasi pelapis untuk meneruskan usaha penanaman semula dilihat semakin berkurangan.

“Kebimbangan terhadap kehilangan sumber pendapatan sementara dalam tempoh tanaman belum berhasil turut menjadi penghalang kepada pelaksanaan penanaman semula secara menyeluruh dan mengikut sasaran.

“Meskipun harga semasa BTS menawarkan pulangan yang memberangsangkan dalam jangka pendek, potensi hasil jangka panjang akan lebih terjamin sekiranya penanaman semula dilakukan secara terancang,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa lagi, pokok sawit tua yang kurang produktif berisiko mengehadkan keupayaan maksimum ladang, baik bagi syarikat perladangan mahupun pekebun kecil.

“Langkah proaktif untuk melaksanakan penanaman semula harus dilihat sebagai pelaburan strategik yang mampu memastikan ladang atau kebun kekal produktif, sekali gus menjamin aliran pendapatan yang lebih stabil dan mampan dalam jangka masa panjang,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79