Bung Moktar Gesa Kerajaan Wujudkan Akta Kewajipan Bina Rumah Mampu Milik Di Setiap Negeri
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memuktamadkan dasar yang mewajibkan setiap negeri menggubal akta khusus bagi pembinaan rumah mampu milik secara menyeluruh.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, langkah kerajaan dalam menyediakan sejuta rumah mampu milik di seluruh negara adalah sangat dialu-alukan.
Namun, beliau menekankan perlunya tindakan lebih menyeluruh dan berstruktur agar matlamat tersebut benar-benar dapat dicapai.
“Kesediaan kerajaan mewujudkan dan menyediakan sejuta rumah mampu milik di seluruh negara amat dialu-alukan dan setiap negeri mempunyai 600 buah rumah. Kita perlu ada dasar dari kerajaan iaitu Persekutuan dan negeri memuktamadkan setiap kerajaan negeri perlu mewujudkan satu akta mewajibkan pembinaan rumah mampu milik.
“Di Sabah terdapat satu rumah mempunyai tiga dan empat keluarga dan kononnya rumah mampu milik tapi sebenarnya rumah mampu ditengok-tengok saja. Tidak boleh dimiliki pun sebab pengurusan dengan pihak bank terlalu sukar.
“Sekiranya ada polisi maka pihak bank perlu buat konsultasi, jika kereta boleh ‘full loan’ kenapa rumah tidak boleh? Rumah itu dicagar lama-lama harga dia naik. Jadi kerajaan harus mencari mekanisme supaya memudahkan rumah mampu milik ini dimiliki mereka yang belum pernah berumah,” katanya ketika membahas Rancangan Malaysia Ke-13, di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas hal berbeza, Ahli Parlimen Kinabatangan itu merasa risau dengan gejala buli kini tidak lagi terbatas yang melibatkan sekolah tertentu sahaja, malah turut melibatkan pelbagai jenis sekolah seperti sekolah agama, vokasional dan kebangsaan.
“Kes buli di sekolah sekarang ini sangat berleluasa, lebih-lebih lagi sekolah berasrama. Sama ada sekolah agama, vokasional mahupun kebangsaan. Mereka ke sekolah untuk mendapatkan ilmu tapi malah dibuli di sekolah.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus melihat pendekatan yang baharu mengenai kes buli di sekolah dan bagaimana hendak mengatasi masalah ini,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, masalah buli yang tidak ditangani dengan baik turut memberi kesan langsung kepada keyakinan ibu bapa, khususnya di Sabah, yang semakin bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.
“Sehingga hari ini, terutamanya di Sabah, ramai ibu bapa yang telah fobia dan tidak mahu menghantar anak-anak ke sekolah berasrama. Kita hendak buat transformasi seluruh negara, tapi di sekolah tidak ada transformasi,” katanya lagi.
Beliau berharap satu pendekatan bersifat menyeluruh, termasuk penguatkuasaan tegas, pendidikan nilai dan intervensi awal dapat dilaksanakan segera bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan pelajar di sekolah. – UMNO Online