Wanita UMNO Johor Tekad Laksana Tanggungjawab Dengan Semangat Juang

JOHOR BAHRU, 4 Ogos – “Mandat itu amanah.” Itulah mesej utama yang ditekankan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh dalam sesi perjumpaan bersama barisan Pengerusi Biro Penerangan Wanita UMNO Bahagian seluruh Negeri Johor yang berlangsung penuh tertib dan bersemangat semalam.

Haslinda yang juga Pengerusi Biro Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor mengingatkan bahawa setiap pelantikan sebagai Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi lebih penting merupakan satu amanah besar yang membawa mandat perjuangan parti.
“Pelantikan ini menuntut semangat yang tinggi, dedikasi tanpa berbelah bahagi, kesepakatan dalam tindakan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada UMNO. Ia bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul tanggungjawab terhadap masa depan parti, rakyat dan negara,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemegang amanah parti perlu sentiasa bersikap responsif terhadap isu semasa, komited menyampaikan maklumat parti secara jelas dan tepat kepada rakyat, memanfaatkan media sosial secara strategic dan memastikan segala tindakan selari dengan hala tuju dan prinsip UMNO.
Haslinda juga menyeru agar barisan penerangan wanita menjadi penghubung utama antara rakyat dan parti dengan menjalin hubungan erat bersama akar umbi dan agensi berkaitan.

Beliau juga meniupkan semangat juang kepada seluruh jentera penerangan wanita dengan ikrar perjuangan yang penuh simbolik.

“Biar rebah jangan berubah, biar luka jangan durhaka, biar patah jangan sudah, biar mati jangan sekali kita khianat pada perjuangan bangsa.”

Tekad ini jelasnya membuktikan bahawa Wanita UMNO Johor komited untuk terus memacu gerakan penerangan parti dengan disiplin, integriti dan keberanian, demi mempertahankan maruah perjuangan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79