UMNO Sabah Tidak Akan Terjebak Mainan Politik Pihak Lawan – Bung
SANDAKAN, 4 Ogos – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa UMNO negeri itu tidak akan terjebak dengan permainan politik pihak lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
Beliau yang juga Ketua UMNO Kinabatangan seterusnya menambah apa yang penting hari ini seluruh jentera parti pelbagai peringkat memperkemaskan persediaan masing-masing.
“Presiden kami tidak pernah menggoda sesiapa dan tidak akan tergoda dengan permainan politik pihak lain. Kalau mahu lawan, lawan sahaja secara terbuka. Kita tidak takut…yang takut itu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kinabatangan yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta barisan Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh Sabah dan perwakilan akar umbi.
Beliau turut mengulas kemunculan beberapa parti politik baharu di Sabah yang menyatakan hasrat untuk bertanding di kesemua kerusi DUN Sabah.
“Tiba-tiba muncul pelbagai parti baharu, terus cakap mahu tanding semua kerusi. Bagus, kita alu-alukan. Tapi UMNO tetap dengan prinsip…kita berunding, kita bertanding,” ujarnya.
Tegasnya lagi UMNO Sabah kekal dalam kerangka kerjasama politik demi kestabilan dan agenda rakyat serta pembangunan negeri.
“Ini bukan soal siapa paling kuat, tetapi siapa paling bersedia untuk membawa rakyat dan negeri Sabah ke hadapan.” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa UMNO Sabah kini sedang memperincikan manifesto PRN yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh termasuk isu infrastruktur asas, pemulihan ekonomi rakyat, dan kebajikan sosial.
“Sabah ialah negeri yang kaya dengan potensi. Kita mahu negeri ini hidup dalam suasana yang lebih baik daripada sekarang. Manifesto kita bukan sekadar janji, tetapi pelan pembangunan sebenar untuk rakyat.” ujarnya.
Akhir sekali, beliau menyeru agar seluruh jentera parti termasuk golongan muda terus mengekalkan semangat perjuangan dan tidak goyah dengan cabaran politik semasa.
“Semangat perjuangan mesti terus disimpan dalam hati. Kita kekal istiqamah, demi masa depan rakyat dan negeri Sabah.”katanya.- UMNO Online