RMK13 Melakar Pembangunan, Pengukuhan Asas Negara Lebih Mampan
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah percaya Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah terjemahan kepada reformasi struktur yang lebih holistik.
Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), berkata kerana ia meliputi sektor-sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, keselamatan sosial dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Namun, kejayaan pelan ini tidak boleh disandarkan seluruhnya kepada kerajaan. Ia memerlukan pendekatan seluruh negara, whole-of-nation approach yang menyatukan rakyat, kerajaan, swasta, akademia dan masyarakat sivil termasuk anak muda Malaysia.
“Pada hemat saya, semasa pembentangan RMK12 yang lalu, tumpuan telah diberikan kepada projek-projek infrastruktur berskala besar dengan peruntukan sebanyak RM400 bilion dan projek-projek tersebut sedang berjalan.
“Khamis lalu, RMK-13 yang telah dibentangkan, saya lihat, membawa anjakan strategi yang lebih berani dan mendalam, yang menumpukan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai,” katanya.
Mohd Shahar berkata demikian pada perbahasan sempena RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau dengan peruntukan yang lebih besar iaitu RM600 bilion, RMK-13 bukan tentang kemegahan fizikal semata-mata namun memberi tumpuan kepada melakar semula pembangunan dengan broader development definition, sebagai pengukuhan asas negara yang lebih mampan.
Katanya lagi, RMK-13 juga memperlihatkan kesungguhan dalam mereformasi struktur ekonomi, dengan tumpuan utama pada pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
“Reformasi ini turut mengangkat martabat insan selaras dengan nilai Madani melalui pembaharuan signifikan dalam pendidikan dan kesihatan.
“Keyakinan Bank Dunia bahawa kita mampu meraih status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 akan menjadi realiti hanya jika agenda reformasi ini dilaksanakan secara menyeluruh.
“Oleh itu, RMK-13 adalah blueprint strategik untuk melonjakkan inovasi, meningkatkan daya saing, dan menjamin kesejahteraan ekonomi negara pada jangka masa panjang,” ujar beliau. – UMNO Online