Kita Bertanding Atas Panji BN, UMNO Sedia Hadapi PRN Sabah – Ahmad Zahid

SANDAKAN, 4 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus bertanding di bawah panji dan lambang yang sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, sambil menekankan bahawa kemenangan amat penting demi rakyat negeri berkenaan.

Berucap pada majlis perasmian penutup Mesyuarat UMNO Bahagian Kinabatangan yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan malam tadi, Zahid turut menyentuh soal kerjasama politik dan keperluan fokus jentera parti dalam menghadapi cabaran PRN.

“Jangan keliru dengan siapa kita berpakat atau berunding. Yang penting, kita bertanding atas nama BN,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, serta barisan kepimpinan UMNO peringkat negeri dan pusat, termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa rakyat Sabah kini semakin merindui kestabilan politik dan kepimpinan kukuh yang pernah ditawarkan oleh parti berkenaan.

“Inilah masa untuk kita kembali memimpin demi kestabilan dan kemakmuran negeri,” tegas beliau.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut mengingatkan jentera parti bahawa perjuangan politik bukan sekadar untuk kekal relevan dalam landskap politik semasa, tetapi untuk membina kerajaan yang mampu melahirkan negeri yang makmur dan rakyat yang terbela.

Tambahnya UMNO telah membuktikan dalam sejarah bahawa parti ini berkhidmat sama ada dalam waktu senang mahupun susah, dan sebab itulah kuasa penting untuk menyusun dasar pembangunan semula demi rakyat Sabah.

“Dalam senang kita tolong orang, dalam susah pun kita tolong orang. Sebab itu kita perlukan kuasa. Tanpa kuasa, perjuangan kita terbatas,” katanya.

Menyentuh persediaan menghadapi PRN Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menyeru agar semua jentera parti mula menyusun gerakan secara sistematik dan strategik mulai sekarang.

“Politik bukan sekadar semangat, ia juga seni dan strategi. Jika kita tidak menyusun dari sekarang, kita akan terus ketinggalan. BN mesti kembali menjadi pilihan utama rakyat.

“Ayuh kita bangkit semula. Jangan biarkan politik retorik terus menipu rakyat. Sabah perlukan pemimpin yang berpijak di bumi nyata,” katanya penuh semangat,”- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79