Zahid Ingatkan Jentera Parti Tolak Politik Negatif Di Sabah

LIBARAN, 3 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar jentera parti mengelak daripada politik negatif dan menumpukan usaha kepada tawaran yang membina kepada rakyat Sabah.

Menurut beliau apa yang penting dan perlu ditonjolkan adalah semangat untuk bersama-sama rakyat Sabah melakukan yang terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Jangan fitnah sesiapa. Kita hanya berjanji untuk melakukan yang terbaik demi rakyat Sabah. UMNO lebih ikhlas dalam menyantuni dan mendepani permasalahan rakyat. Kita ada sejarah panjang 62 tahun dalam pemerintahan melalui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), namun kita tidak boleh bersandar kepada sejarah semata-mata.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Libaran yang turut dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir serta perwakilan setempat.

Presiden UMNO itu seterusnya menyatakan keyakinan bahawa UMNO/BN Sabah mampu menerajui kerajaan negeri bersama rakan-rakan politik lain, sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Tambah beliau tanggungjawab utama adalah untuk memulihkan keyakinan rakyat dan membangunkan semula negeri secara menyeluruh.

“Kita akan bekerja kuat bersama-sama demi memberi kemakmuran kepada negeri dan rakyat. Masalah rakyat mesti diselesaikan, bukan sekadar dijanjikan,” ujarnya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menyentuh empat fokus yang akan dijadikan teras dalam manifesto BN nanti.

“Masalah gangguan bekalan elektrik dilihat sebagai isu mendesak yang perlu diselesaikan segera bagi menjamin keyakinan pelabur dan kelangsungan sektor perkilangan serta pelancongan.

“Bagaimana pelabur mahu datang kalau elektrik terganggu? Ini adalah azam kita…berikanlah kesempurnaan elektrik kepada rakyat. Keduanya penyelesaian air akan diberikan tempoh pelaksanaan khusus dan saya akan memantau sendiri. Bekalan air mesti berterusan dan stabil untuk seluruh rakyat Sabah.

“Penekanan kepada infrastruktur juga perlu diberikan perhatian antaranya kelancaran projek Lebuh Raya Pan Borneo serta sambungan jalan ke kampung-kampung dan bandar.

“Kita mahu pastikan pembangunan menyeluruh, bukan hanya tertumpu di bandar besar. Insya-Allah TVET juga akan diperkasakan dan UMNO komited meningkatkan program latihan kemahiran teknikal dan vokasional bagi membendung penghijrahan anak muda negeri ini ke luar negeri,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa BN akan menawarkan calon-calon yang profesional, cekap dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat Sabah tidak mahu retorik kosong. Mereka mahu penyelesaian nyata. Kita tampil bukan untuk menabur janji manis, tetapi untuk membawa perubahan yang tulen dan berasaskan keikhlasan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79