UMNO Libaran Terus Kukuh, Perjuangan Kekal Relevan – Suhaimi

LIBARAN, 3 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa UMNO Libaran kekal teguh dan terus berkembang sebagai parti yang relevan serta mendapat kepercayaan akar umbi meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Ketika menyampaikan ucapan aluan sempena perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Libaran oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau memaklumkan bahawa seramai 1,429 perwakilan daripada 169 cawangan hadir bersidang, mencerminkan kekuatan jentera parti di Libaran.

“Inilah kekuatan UMNO Libaran kekuatan akar umbi. Walaupun pelbagai cabaran dan gelora mendatang, UMNO kekal utuh dan perjuangan kami akan terus subur,” katanya.

Turut hadir pada perasmian berkenaan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pimpinan bahagian serta perwakilan.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran seterusnya menyatakan bahawa keahlian UMNO di kawasan ini terus bertambah dengan kehadiran ahli-ahli baharu dan pelapis masa depan, sekali gus membuktikan bahawa dakwaan kononnya UMNO sudah tidak relevan adalah tidak benar sama sekali.

“Sejarah tidak pernah menipu. Walaupun ada yang mengatakan UMNO sudah tidak relevan, di Libaran keadaannya berbeza. Sambutan terhadap perjuangan UMNO masih kuat,” tambahnya.

Menerusi ucapannya juga Suhaimi turut menyentuh isu-isu asas yang terus membelenggu rakyat Sabah, termasuk bekalan elektrik, air dan infrastruktur asas yang digelar sebagai “isu tiga serangkai” yang masih belum menemui penyelesaian tuntas.

Namun begitu, katanya, pelbagai inisiatif dan projek kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Sabah.

“Ini bukan cerita kosong, tetapi bukti kasih dan sayangnya kerajaan pusat kepada rakyat Sabah,” ujarnya.

Beliau turut menyeru seluruh ahli dan pimpinan UMNO agar terus memperkukuh perpaduan dan menjadikan mesyuarat tahunan ini sebagai medan penyatuan, bukan perpecahan.

“Bersatu teguh, bercerai roboh. Semangat adalah nyawa perjuangan ini. Jangan hilang semangat. Rapatkan barisan, mantapkan gerak kerja dan kukuhkan keyakinan rakyat. UMNO yang bersatu, insya-Allah akan mencapai kemenangan,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79