Tok Mat Garis Empat Elemen Penting Menjelang Pilihan Raya
PUTATAN, 3 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata empat elemen utama untuk menghadapi pilihan raya dalam usaha memastikan parti bukan sahaja kekal relevan malah mampu mencipta kemenangan.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putatan, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian, Jeffery Nor Mohamed serta barisan Ketua-Ketua UMNO Bahagian Sabah dan perwakilan akar umbi.
Menurut Mohamad, kejayaan dalam pilihan raya bergantung kepada strategi yang tersusun dan pemahaman yang mendalam terhadap realiti semasa.
“Untuk menghadapi pilihan raya, ada empat elemen yang mesti kita beri perhatian serius. Pertama urus persepsi masyarakat terutama dalam kalangan pengundi muda yang terdedah kepada pelbagai maklumat di media sosial.
“Persepsi mesti diuruskan dengan baik. Kita kena lawan dan kena nafikan persepsi negatif yang disebarkan, terutamanya kepada orang muda. Dunia hari ini adalah dunia TikTok, Instagram dan sebagainya. Kita berdepan dengan pengundi yang tidak kenal siapa kita. Maka kita perlu masuk ke ruang mereka,”jelasnya.
“Keduanya urus jentera dengan baik, hindari perpecahan dalaman. Kita akan kalah kalau jentera tidak bergerak. Jangan ada duri dalam daging. Sepakatlah elok-elok. Jentera ini nadi kemenangan kita,” tegas beliau.
Seterusnya tambah Mohamad lagi adalah soal calon yang diterima rakyat.
“Calon perlu betul. Bukan saja layak, tetapi disukai masyarakat. Ketengahkan calon yang pengundi mahu, bukan calon yang hanya kita suka. Terakhir adalah gerakkan pengundi keluar mengundi.
“Kita mesti urus pengundi agar keluar mengundi sebaiknya. GOTV adalah faktor penentu. Jangan hanya berharap pada seorang dua. Setiap orang ada peranan,”ujar beliau.
Mohamad turut menyeru agar seluruh jentera UMNO di semua peringkat terus kekal bersatu dan harmoni.
“Kita perlu perkuatkan dan harmonikan jentera. Jangan ada kelompok yang hanya bergantung kepada satu dua individu. Semua mesti mainkan peranan. Hanya dengan kesepakatan, kita boleh mara ke hadapan dan capai kemenangan,” tambahnya. – UMNO Online