Puteri UMNO Nadi Dinamik, Wakili Suara Wanita Muda – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pergerakan Puteri UMNO sebagai nadi dinamik yang mewakili suara wanita muda.
Menurut beliau ini kerana mereka berani ke hadapan, bijak menyusun gerak kerja dan tidak pernah gentar mempertahankan UMNO dalam apa jua keadaan.
“Alhamdulillah tanggal 3 Ogos saban tahun merupakan detik penuh makna buat seluruh ahli Pergerakan Puteri UMNO.
“Pada ulang tahun ke-24 ini, saya ingin menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Puteri UMNO yang terus teguh menjadi tulang belakang perjuangan parti, sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut beliau berkata Puteri UMNO melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk melalui media sosial hingga ke akar umbi desa, kota bagi hadir menyumbang tenaga dan menyemarakkan semangat juang.
“Ulang tahun kali ini hadir pada waktu yang cukup penting, kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN Sabah) tidak lama lagi.
“PRN Sabah adalah medan ujian, tetapi juga peluang untuk membuktikan bahawa Puteri UMNO adalah suara masa depan yang matang dan diyakini,” katanya.
Mengulas lanjut beliau turut percaya, dengan kekuatan solidariti dan semangat kental, Puteri UMNO akan terus melakar kejayaan, bukan hanya dalam parti, tetapi dalam membina bangsa dan memacu negara.
“Selamat Ulang Tahun Ke-24 Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Teruslah bersinar sebagai peneraju wanita muda tanah air,” ujar beliau. – UMNO Online