Kita Ada Peluang Untuk Bina Semula UMNO – Nur Jazlan
PULAI, 3 Ogos – UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang cerah untuk membina semula parti agar dominan pada masa hadapan, kata Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara berkata, meskipun mengalami kekalahan pada 2018, UMNO dilihat mula bangkit dan dapat meyakinkan rakyat bahawa parti ini semakin kuat.
“Kita jangan lupa tahun 2018 dulu. Kita telah kalah dan kehilangan segala-galanya sehinggakan balai hendak bermesyuarat pun tidak ada. Selepas mengalami zaman kegelapan pada tahun 2018, kita sedikit demi sedikit dapat meyakinkan rakyat bahawa UMNO semakin kuat.
“Banyak cabaran yang kita hadapi. Tetapi, kalau kita cari jalan yang boleh diterima oleh rakyat, kedepankan pemimpin yang ada imej, berkualiti, berpendidikan tinggi dan berhemah,insya-Allah UMNO akan dapat bangkit semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai pada Sabtu.
Ujarnya, UMNO perlu bertindak dengan lebih agresif untuk menggamit semula sokongan rakyat kepada parti.
“Sekarang ini masa kita nak cari pemimpin yang boleh memimpin UMNO untuk masa hadapan. Ini bukan masa untuk kita ‘play safe’ lagi. Kita perlu bertindak dengan lebih agresif.
“Kita mempunyai peluang yang baik untuk membina semula UMNO. Di Johor ini, saya telah terlibat secara langsung untuk memenangkan semula UMNO/BN. Kita ada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita akan cuba kekalkannya pada PRN akan datang,” katanya lagi.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pulai empat peringkat. – UMNO Online