Depani Cabaran… UMNO Perlu Lebih Dinamik, Pragmatik – Johari

PASIR GUDANG, 3 Ogos – UMNO perlu lebih dinamik dan pragmatik untuk berdepan dengan perubahan landskap politik yang kian mencabar, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 dengan matlamat untuk memerdekakan negara dan nikmat tersebut telah dirasai sehingga generasi pada masa kini.

“UMNO adalah sebuah parti yang unik kerana ia ditubuhkan oleh orang terdahulu apabila negara dijajah hampir 400 tahun. Mereka melalui proses tersebut dan kesengsaraannya tidak dapat digambarkan.

“Mereka tidak sanggup untuk melihat perkara tersebut dilalui oleh generasi akan datang. Pada ketika itu, orang Melayu mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Apabila mereka mempunyai kesedaran untuk mencari cara bagi mentadbir negara, segala perbezaan diketepikan demi kemerdekaan.

“Parti ini ditubuhkan bukan untuk menjadi wakil rakyat, cari kekayaan ataupun jawatan. Tetapi, semata-mata untuk dapatkan kemerdekaan. Sebelas tahun mereka berjuang tetapi tiada seorang pun di antara mereka yang dapat menikmati kemerdekaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Sabtu.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kemerosotan sokongan rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) dapat dilihat berlaku sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

“Pada PRU ke-11 kita menang 198 daripada 222 kerusi Parlimen. Kemudian angka tersebut menurun ke 140, 133, 79 dan kemudian tinggal 30. Banyak perkara yang telah kita lakukan namun tetap mengalami kekalahan.

“Saya rasa kita nak fikir sesuatu yang di luar kotak, macam mana kitab oleh kuatkan semula UMNO. Strateginya sama tetapi kenapa keputusannya berbeza? Sebenarnya ada ‘missing gap’. 60 tahun kita memerintah, kita kena sedar bahawa ramai anak Malaysia yang berpendidikan sempurna telah dilahirkan.

“Pengundi sekarang bukan macam ibu dan ayah kita dulu. ‘Tolerance’ level mereka tinggi sebab mereka tidak merasai zaman kesusahan untuk dapatkan kemerdekaan. Sekiranya simptom ini tidak diubati, maka kita akan menerima kesannya pada masa akan datang,” katanya lagi.

Ujarnya, pada PRU ke-16, 40 peratus daripada jumlah pengundi di sesebuah kawasan akan datang daripada anak-anak muda yang berpendidikan sempurna.

“Saya nak pesan pada PRU ke-16 akan datang lebih dahsyat. 40 peratus pengundi dari setiap kawasan datang daripada pendidikan sempurna. Saya lihat, kita kena berubah, penting untuk kita lihat kekuatan satu parti itu jika ia boleh dinamik dan pragmatik.

“Pemikiran kita mesti nak bawa kepada perubahan. Kita mesti kekal dalam kuasa dan terlibat dalam pembangunan kerajaan. Kalau kita asyik cerita tentang pencapaian 60 tahun itu, ia akan terhenti setakat itu sahaja.

“Kedinamikan politik ini sangat penting. Apa yang kita buat pada PRU ke-15, mungkin tidak sesuai pada PRU ke-16. Kita perlu cari perjuangan yang perlu diselesaikan. Paling penting, kita bersama dalam satu pasukan dengan matlamat yang sama. Insya-Allah kita akan dapat kejayaan itu,” katanya lagi.

Terdahulu, Johari hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Halim Suleiman dan para pemimpin empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79